JOHOR BAHRU: Keputusan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyemak semula undang-undang dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh memberi sinar baharu buat kedaulatan negara ini berhubung kes berkenaan.
Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor, Normala Sudirman berkata, tindakan itu tepat dan Malaysia tidak sepatutnya mengalah begitu mudah atau dilihat lemah dalam mempertahankan pulau berkenaan.
“Seharusnya hak pemilikan ini mesti dipertahankan bukan mengalah sebelum berjuang kerana ini lambang maruah dan kedaulatan negara.
“Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meneruskan semakan keputusan berkenaan Pulau Batu Puteh amat dikesali, seperti mengaku kalah sebelum berjuang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas itu bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian dengan turut mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Normala yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Johor turut memberitahu, alasan kerajaan PH tidak meneruskan prosiding semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018 tidak pernah dijelaskan kepada rakyat.
“Sepatutnya keputusan penting seperti itu diterangkan di Parlimen secara telus dan bertanggungjawab, bukan senyap begitu sahaja.
“Pasukan petugas khas kes Pulau Batu Puteh itu nanti perlu menjelaskan dalam laporannya keadaan sebenar yang menyebabkan PH menarik balik semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh.
“Rakyat Malaysia wajar tahu adakah tindakan tersebut cuai dan membelakangkan kepentingan nasional. Seterusnya siapa yang harus dipertanggungjawabkan dalam kegagalan meneruskan semakan keputusan tersebut,” katanya.
Tambah Normala, ketika bangsa lain bermati-matian mempertahankan kedaulatan tanah air mereka, kerajaan PH melepaskan segala usaha mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh tanpa sebarang tanggungjawab.
“Tindakan mereka adalah ‘the neglect of duty of the highest order’. Mereka harus dipertanggungjawabkan jika mereka, cuai, culas dan membelakangkan kepentingan nasional,” katanya.