PETALING JAYA: Bukan mahu mendabik dada tetapi pengendali Selangor FC (SFC) Karsten Neitzel mempunyai keyakinan tinggi terhadap anak buahnya untuk mencatat keputusan sebegini, sebaik sahaja aksi Piala Malaysia kembali bersambung.
Buktinya, skuad Gergasi Merah tidak menghadapi masalah untuk membelasah Kuching City FC 5-1 pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya, kelmarin sekali gus membawa momentum dua kemenangan dalam dua aksi persahabatan ketika tempoh rehat hampir sebulan.
Neitzel mengakui dia sudah menjangkakan anak buahnya mampu mencatat keputusan positif selepas menyaksikan persembahan baik pemainya ketika berdepan Petaling Jaya City (PJ City) dan Sarawak United dalam aksi persahabatan sebelum ini.
Dia menyuarakan rasa ‘puas’ apabila barisan pemainnya memperagakan kualiti persembahan yang sama seperti dalam dua aksi persahabatan walaupun tanpa beberapa pemain kerana kecederaan dan tugasan antarabangsa.
“Pemain beraksi dengan baik khususnya pada babak kedua. Tiada perasaan gementar yang ditunjukkan dan mereka menunjukkan corak permainan yang dimahukan. Apa yang menggembirakan saya adalah ramai pemain muda di atas padang.
“Aksi persahabatan dan Piala Malaysia sudah tentu berbeza tetapi pemain dapat mengulangi prestasi yang sama untuk membantu pasukan meraih tiga mata kali ini.
“Tahniah kepada pemain dan barisan kejurulatihan. Tetapi kita hanya ada beberapa hari untuk menjalani pemulihan sebelum mengharungi aksi seterusnya,” kata pengendali dari Jerman itu.
Kemenangan ke atas Kuching City, mencerahkan lagi peluang Selangor untuk meraih tiket ke suku akhir selepas mengukuhkan kedudukan di tempat kedua Kumpulan B dengan enam mata.
Juara 33 kali Piala Malaysia itu dijadualkan berdepan lawan sama di Stadium MB Pasir Gudang, Rabu ini.