KUALA TERENGGANU: Kebenaran merentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal menyerikan semula sektor pelancongan Terengganu yang sebelum ini sepi.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai negeri yang mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dilawati, Terengganu bersedia menerima kedatangan pelawat selain kepulangan anak perantau.
“Pengumuman ini pastinya melegakan pemain industri terutama sektor pelancongan yang bakal kembali rancak dan mampu menyumbang kepada ekonomi lebih baik.
“Saya berharap kita semua dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekali gus bersama-sama berganding bahu dalam usaha membantu memulihkan negara tercinta dan ke arah menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bermula esok, kerajaan membenarkan rakyat untuk merentas negeri susulan peratusan populasi dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai 90 peratus.
Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan terutama pulang ke kampung berjumpa ibu bapa yang sudah lama terpisah selain melancong dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan sebaiknya dan usah terburu-buru pulang ke kampung hingga mengabaikan aspek keselamatan.
“Terengganu menyambut baik dan berterima kasih kepada Perdana Menteri dengan pengumuman terbaharu ini, saya yakin, ramai pihak terutama anak perantau sangat gembira dengan kebenaran diberikan,” katanya. -UTUSAN ONLINE