Sektor pelancongan di Langkawi tidak terjejas - Utusan Malaysia

Sektor pelancongan di Langkawi tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja di sebuah hotel terkemuka di Langkawi dijangka tidak menjejaskan sektor pelancongan di pulau itu yang baru dibuka di bawah projek rintis gelembung pelancongan pada 16 September lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau difahamkan kes tersebut menular dalam kediaman pekerja dan bukan melibatkan pelancong.

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR

“Itu penularan tempatan, menular di tempat tinggal pekerja hotel tersebut. Perkara itu tidak akan menjejaskan industri pelancongan di sana.

“Kita sudah ambil tindakan perlu untuk jaga gelembung pelancongan di sana. Alhamdulillah sekarang ini Langkawi sudah bernafas semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabatnya di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan, pihak pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di Langkawi menutup sementara operasinya selepas 59 pekerja serta kontak rapat mereka disahkan positif Covid-19.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo, penularan Covid-19 di hotel itu melibatkan Kluster Teluk Nibung yang diumumkan Kementerian Kesihatan pada 1 Oktober lalu.

 

DR. OTHMAN WARIJO 

Sementara itu Mahdzir berkata, pertemuannya bersama Muhammad Sanusi itu turut  membincangkan mengenai usaha untuk menaik taraf pekan kecil di Tanjung Dawai, Kuala Muda bagi dijadikan destinasi pelancongan.

Bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memberi tumpuan kepada aspek berkaitan seperti naik taraf dan baik pulih jalan serta bekalan air luar bandar.

“Namun, semua ini turut memerlukan kerjasama serta penglibatan kementerian lain.

“Oleh itu selepas ini saya difahamkan kerajaan negeri akan berunding dengan kementerian-kementerian lain juga untuk menaik taraf Tanjung Dawai bagi menarik kedatangan pelancong ke situ,” katanya.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya