KANGAR: Bukit-bukit dan gua batu kapur di negeri ini yang mempunyai nilai sejarah dan arkeologi perlu segera diwartakan atau dijadikan sebagai tapak warisan bagi mengelak aktiviti pencerobohan sekali gus merosakkan khazanah berharga itu.
Antara yang perlu diberi perhatian segera adalah Bukit Keteri yang menjadi tapak warisan geologi dan kebudayaan masyarakat purba; Gua Semadong yang mempunyai warisan lukisan proto sejarah selain gua-gua batu kapur yang terkenal dengan warisan bersejarah perlombongan bijih timah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengasas Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, pewartaan tersebut penting bagi melindungi kawasan berkenaan daripada diteroka untuk sebarang tujuan yang menyumbang kepada kemusnahan ekosistem dan nilai sejarah.
Katanya, antara yang dikhuatiri terancam adalah gua-gua batu kapur berusia jutaan tahun yang mempunyai nilai saintifik, sejarah perlombongan dan kebudayaan prasejarah.
“Sebagai contoh, penemuan rangka purba di Bukit Keteri dan lukisan proto sejarah di Gua Semadong sebelum ini merupakan antara penemuan bersejarah bagi Perlis dan perlu dijalankan proses pewartaan segera.
“Sekurang-kurangnya seluruh kawasan penemuan tersebut harus dipagar dan diletakkan notis kawasan larangan sehingga kajian sepenuhnya dilakukan dengan disusuli tindakan pewartaan tapak.
“Risiko kerosakan yang boleh berlaku dari segi vandalisme, unsur pemujaan, aktiviti rekreasi tanpa jurupandu bertauliah, aktiviti paranormal, memburu harta karun dan penggalian baja tanaman,” katanya.
Utusan Malaysia pada 24 September lalu melaporkan, fosil tengkorak purba dipercayai berusia antara 5,000 hingga 10,000 tahun ditemukan di kaki bukit batu kapur, Bukit Keteri di sini sekali gus menjadi penemuan penting yang mempunyai nilai sejarah dan arkeologi cukup berharga di Perlis.
Perlis turut merekodkan penemuan bersejarah lain seperti lukisan gua dipercayai zaman proto sejarah di Gua Semadong, Padang Besar.
Lukisan berbentuk lakaran gajah (Ganesa); lembu (Nandi); ular (nagin); manusia dan mawas (Hanuman) yang mempunyai pengaruh Hindu-Buddha itu dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi.
Gua Kurung Batang, Bintong pula pernah merekodkan penemuan kalam semah atau votive tablet yang mempunyai imej avaloketisvara dan bodhisattva serta ayat-ayat Buddha.