TIADA kontroversi, berkembang tanpa diiringi dengan gosip-gosip murahan, menjadikan penyanyi dan pelakon bernama Amira Othman ini bagaikan begitu selesa dengan graf kerjayanya yang barangkali dilihat sebegitu monotonous.
Maklumlah, lumrah menjadi artis dan selebriti, ada yang berpendapat sekurang-kurangnya satu dua kontroversi itu perlu bagi menaikkan nama dalam industri. Namun, Amira hadir dengan gambaran berbeza apabila dirinya tampil dengan satu perkataan yang mengena, sederhana.
Berbicara dengan empunya diri, dia mengaku tidak mengapa jika dianggap tidak menyerlah atau bosan tanpa cerita panas memandangkan dirinya berpegang kepada satu prinsip atau janji yang dipegang sejak dari awal terlibat dalam dunia hiburan.
Enggan hanyut, Amira sejak dulu percaya bahawa bergelar artis bukan tiket untuknya besar kepala kerana setiap perlakuan dan langkah, dia tidak cuma membawa nama sendiri, tetapi seiring nama baik ibu, ayah dan keluarga.
“Banyak orang tanya, kenapa tak buat kontroversi? Masalahnya saya tak tahu macam mana kerana perkara itu bukannya boleh dibuat-buat. Saya tahu, tak semua kontroversi itu tak baik, ada yang memberi impak positif dan tak memudaratkan.
“Tentulah, dalam hidup, kerjaya atau perniagaan misalnya, mestilah kita nak berkembang, tetapi saya percaya, mediumnya bukan hanya dengan mencipta kontroversi semata. Kalau saya tak ada cerita panas, kerjaya boleh dibangunkan dengan aspek lain pula.
“Contohnya, menghasilkan karya muzik atau serlahkan bakat berlakon dengan lebih bermutu.Tapi memang kena usaha lebih sikitlah daripada orang lain yang mungkin dibantu dengan kontroversi,”katanya.
Bagaimanapun, usah salah faham. Amira tidak pernah menghukum mana-mana artis atau selebriti yang memilih jalan untuk mencipta kontroversi kerana baginya masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam merangka strategi kerjaya.
“Saya tak kata orang, cuma saya sendiri inilah yang tak reti nak buat hal begitu. Sentiasa jugalah berdoa agar mudah-mudahan tiadalah kontroversi yang buruk membabitkan diri.
“Sebab macam saya cakap, saya tidak berseorangan. Saya membawa nama baik keluarga bersama seiring perjalanan seni ini,” jelasnya.
Atas nama eksklusiviti?
Serba serbi begitu berhati-hati, baik dari segi penampilan sopan dan tertibnya bertutur kata, wanita berusia 28 tahun ini juga tidak sembarangan memuat naik kandungan-kandungan aneh menerusi platform media sosialnya.
Pendek kata,’bersihnya’ Amira sehingga terbit pertanyaan, adakah sebenarnya dia sedang menjaga eksklusiviti imej dan kerjayanya supaya tidak tercela dek sisi hitamnya dunia hiburan ini?
Jika benar, pujian wajar diberikan kepadanya kerana bukan mudah untuk mengekalkan graf bersih seperti ini meski ada ketika mungkin ada pihak tidak berkenan caranya ini.
“Saya adalah orang yang sangat-sangat perahsia. Ya, mungkin boleh diandaikan terlalu berhati-hati. Sebab saya pasti, ada benda yang mungkin kalau diketengahkan secara umum, saya pula nanti yang tak boleh menerima komen daripada warganet.
“Nanti kita pula stres. Hanya kita sendiri yang tahu di mana tahap kemampuan diri untuk menyerap tenaga negatif seperti kecaman orang. Jadi, saya berhati-hati.
“Kita terkenal atau tidak, orang tetap akan memerhati. Jadi, apa yang boleh saya cakap, memang saya menjaga setiap kelakuan selagi boleh. Kita tahu, dunia artis ini ada macam-macam ragam dan warnanya, tapi saya sendiri kena ingat, ada mak, ayah dan keluarga,”katanya.
Tidak menolak mungkin inilah skop eksklusiviti bagi dirinya namun hakikatnya dia sedar, selagi namanya manusia, mana mungkin boleh lari daripada melakukan kesilapan. Entah esok atau lusa, jika dirinya diuji, siapa yang tahu. Pun begitu, di sinilah perlunya usaha untuk cuba menjaga itu.
“Takut juga nak cakap lebih-lebih, bimbang diuji. Tetapi selagi boleh saya memang nak menjaga diri kerana percaya, orang luar melihat, mendengar dan mengikut apa yang kita buat sebab sudah namanya artis dan selebriti.
“Sebenarnya saya dan adik saya, Irfan Haris sama. Kami ini dibesarkan dalam keadaan begitu, dipantau, dijaga. Jadi secara tak langsung, walaupun umur dah nak masuk 30 tahun pun, kami selesa begini,” terangnya.
Ditanya juga sama ada dirinya terlalu bimbang andai menjadi mangsa fitnah, Amira tidak menolak. Bahkan, itulah satu daripada asbab untuk dia kekal bersederhana kerana adakalanya, sekecil-kecil perkara yang dianggap tidak masalah, barangkali dilihat besar di mata orang lain. Apa lagi jika artis yang mempunyai komitmen menjaga nama baik jenama tertentu dalam jalinan kerjasama pemasaran.
“Kalau nama tercalar, tidak mustahil ia boleh mengganggu reputasi kerjaya. Jadi, saya selagi boleh nak jaga diri daripada setiap sudut. Harap-harap begitulah,”katanya.
Artis wanita jadi sasaran
Sementara itu, meraih perhatiannya menerusi hal semasa yang menyentuh isu menjaga kehormatan dan aib kaum wanita, khususnya jika wanita itu berkecimpung dalam dunia seni hiburan, Amira berkongsi pandangan bernas.
Tidak menafikan, pada kebanyakan masa, artis atau selebriti wanita sering menjadi sasaran bahkan menjadi bahan perlekehan, ia juga terjadi kepada mereka yang bertudung dan jelas membawa imej muslimah.
“Tak semestinya yang tidak bertudung, yang berimej sopan pun ada juga yang menjadi sasaran. Orang mengata, menerima pandangan menjengkelkan daripada lelaki, semua itu kita pernah terbaca dalam luahan-luahan dilontarkan oleh banyak wanita yang berkongsi pengalaman di media sosial.
“Sekarang, terbukti, wanita, kalau tutup aurat macam mana sekali pun, tetap akan ada mata-mata menjengkelkan yang memandang dengan niat tertentu. Cuma saya nak tanya, itu salah siapa? Mata kita sendirilah, otak dan fikiran kita sendirilah.
“Perkara ini tidak cuma terjadi kepada golongan selebriti saja. Kalau kita bukan figura awam pun, ada juga yang pernah melalui pengalaman begitu. Cuma mereka bukan artis atau selebriti yang biasanya mudah menjadi perhatian,”katanya.
Berkongsi lanjut, Amira juga tidak bersetuju dengan sindiran sesetengah orang yang mungkin mengatakan, jika tidak mahu menjadi sasaran atau perhatian orang, lebih baik usah masuk dunia hiburan.
Baginya, fikiran sebegitu sangat dangkal dan pandangan seperti ini harus diubah.
“Jangan membiasakan apa yang kita rasa sudah biasa. Contohnya, menjadikan isu rogol sebagai jenaka, wanita sebagai sasaran. Saya percaya, kita berada di zaman yang semua orang boleh berubah menjadi lebih baik. Makin tua mestilah nak jadi lebih baik.
“Tetapi jangan cuma mengharapkan perubahan baik itu daripada golongan artis dan selebriti saja. Yang bergelar netizen ini juga wajar berubah. Yang mana suka kutuk, mencaci, memaki hamun artis itu pun berubahlah. Mungkin nak tegur, gunakan ayat yang bersesuaian.
“Kita kena ingat, kalau Allah SWT nak uji kita, Dia boleh buat. Terkena pada adik-beradik sendirikah, keluargakah, sebab itulah berhati-hati. Tak nak perkara negatif yang kita buat itu berbalik semula kepada kita,”katanya.
Dalam pada itu, kata Amira, dia lebih selesa untuk tidak melayan ragam netizen yang gemar berkelakuan agresif dan biadab sebagai pengguna media sosial.
Sudah sedia maklum bahawa akan ada sahaja golongan pembenci yang bersembunyi di sebalik baju ‘wira papan kekunci’, Amira tegas meletakkan noktah buat kelompok netizen seperti ini.
“Saya memang tak layan pembenci. Saya akan sekat terus mereka di media sosial. Malas dan tak nak peningkan kepala sebab kalau dilayan, kita pula yang sakit hati nanti. Lagipun saya sedar, seribu orang yang suka kita, akan ada sahaja seorang dua yang sebaliknya.
“Biarkan saja orang macam ini. Nak buat semua orang suka pada kita, itu sangat mustahil,”katanya.
Tragedi
Dalam pada itu, berbicara mengenai perkembangan kerjaya, Amira bersyukur single terbarunya yang berjudul Tragedi dipilih untuk menjadi lagu runut bunyi (OST) drama berjudul Malaysian Ghost Stories.
Kata Amira, ia merupakan kali keempat lagunya dipilih untuk menjadi OST drama tempatan selepas Hati-Hati, Jaga-Jaga dan Surat Akhir.
“Bagi saya ini satu rezeki yang tidak disangka-sangka. Sebenarnya, lagu Tragedi sudah lama disiapkan sekitar 2011. Kemudian, saya sertai Akademi Fantasia 2013 dan lagu itu tak sempat dilancarkan.
“Selepas 10 tahun, tak sangka pula ada pengarah yang berminat nak jadikan ia lagu OST drama tersebut. Saya anggap ia satu peluang yang baik dan membantu mempromosikan lagu kerana sekarang pun susah nak buat promosi di luar selain di media sosial.
“Jadi ini satu peluang baik. Bukan senang dan tak semua lagu sesuai dijadikan OST. Kalau ada yang menggelarkan saya penyanyi OST pun tak apa.Tentunya saya bersyukur dengan rezeki ini,”katanya.