PORT DICKSON: Kebenaran merentas negeri bermula semalam dijangka menjadikan pantai peranginan di daerah ini kembali menjadi tumpuan pelancong.
Bagaimanapun, orang ramai yang mengunjungi pantai-pantai di sini dinasihatkan supaya bersama menjaga kebersihan pantai dan tidak membuang sampah merata-rata.
Penyelia sambilan pusat pemuliharaan dan penetasan penyu, Hishamudin Abdul Manap berkata, kesedaran dan kerjasama dari orang ramai itu penting dalam usaha pemuliharaan penyu jenis karah dan agar dapat diteruskan di daerah ini.
“Disebabkan ketika ini sempadan negeri telah dibuka, memang kami agak khuatir pengunjung mula ramai di sekitar pantai, mereka berkelah dan mandi-manda.
“Jadi harapan saya mereka dapat sentiasa menjaga kebersihan pantai dan jangan buang sampah merata-rata bagi mengelakkan penyu mati termakan plastik atau sampah,” katanya selepas Program Penanaman Telur Penyu di Pusat Penetasan Telur Penyu, Glory Beach Resort, semalam.
Dalam pada itu, tambah Hishamudin, pengunjung pantai yang terlihat dan terjumpa telur penyu perlu segera menghubungi pihaknya atau Jabatan Perikanan dengan segera. – UTUSAN ONLINE