Sambutan Hari Sukan Negara 2021 secara hibrid, fizikal 

Sambutan Hari Sukan Negara 2021 secara hibrid, fizikal 

ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah melepaskan kumpulan berbasikal pada Program ‘Road Tour’ HSN 2021 Selangor di Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor. - FOTO/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan mengambil pendekatan berbeza pada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 kali ini dengan diadakan secara hibrid dan fizikal, mengambil kira situasi dan keadaan semasa negara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd. Azhari Mohammad berkata, biarpun berhadapan dengan pandemik, sistem pendigitalan dalam aktiviti dirancang secara virtual untuk menyemarakkan lagi sambutan HSN 2021 serentak seluruh negara.

“Seperti Mega Aerobic selama lima jam dengan penyertaan seramai 10,000 peserta dipantau menerusi sistem tersebut, begitu juga, acara ‘Virtual Run’, menerusi penyelarasan di peringkat urus setia yang menjadi lebih mudah bagi peserta yang ingin menyertai acara tersebut.

“Bagaimanapun, untuk menyertai kesemua acara dan aktiviti yang disediakan bersempena HSN kali ini, mereka perlulah mendaftarkan diri menerusi www.harisukannegara.my bagi mendapatkan sijil penyertaan secara digital,” katanya selepas Program ‘Road Tour’ Hari Sukan Negara (HSN2021) Selangor bersempena dengan sambutan HSN 2021 di Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.

Program berkenaan bagi mempromosikan dan menyemarakkan HSN 2021 Negeri Selangor serta menggalakkan rakyat untuk kekal mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas melalui penyertaan dalam aktiviti sukan berpandukan norma baharu.

Kayuhan sejauh 70 kilometer itu bermula dari Medan Selera Pekan Lama, Sepang seterusnya ke Pantai Bagan Lalang, Sepang, Pantai Morib Kuala Langat dan berakhir di Bukit Jugra, Kuala Langat.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan di seluruh negara pada HSN 2021 pada Sabtu depan adalah seramai 2.5 juta.

“Setakat ini lebih 1.2 juta penyertaan diterima dan kita yakin sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh seminggu lagi, apabila kita mendapat penyertaaan meluas daripada murid-murid sekolah nanti,” katanya.

Ujar beliau, trend bersukan dalam kalangan rakyat ketika pandemik dilihat sangat positif seperti bersukan di kawasan kejiranan, berjoging atau berbasikal dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Hari Sukan Negara disambut pada Sabtu kedua setiap Oktober bermula 2015 dengan tujuan menggalakkan rakyat Malaysia sentiasa bersukan dan menjadi budaya hidup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya