Sambal nenek tembusi pasaran Singapura - Utusan Malaysia

Sambal nenek tembusi pasaran Singapura

AINIL Noor Qayyum Abdullah menunjukkan sambal hijau petai ikan bilis Warisan Nona Salam yang diusahakan di rumahnya di Kempas, Johor Bahru. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Siapa sangka sambal hijau yang dahulunya hanya menjadi hidangan keluarga berjaya menembusi pasaran Singapura.

Bekas eksekutif pemasaran di sebuah hotel kini mengusahakan produk sambalnya sendiri yang merupakan resepi turun temurun daripada nenek moyangnya sejak tiga tahun lalu.

Ainil Noor Qayyum Abdullah, 38, berkata, dia menjadikan produk sambal itu sebagai kerjaya baharunya selepas berhenti kerja sebagai eksekutif hotel.

Meski pun memiliki diploma dalam bidang seni bina, dia mengambil keputusan mengusahakan sambal hijau petai ikan bilis yang diberi nama Warisan Alif Nona Salam.

“Saya belajar buat sambal ini daripada nenek ketika tinggal di Perak, masa itu saya selalu tengok nenek masak sambal.

“Tapi nenek hanya buat untuk makan sendiri bukan untuk jual, maka dari situ timbul idea untuk menjadikan sambal nenek sebagai produk makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Buana, Kempas, semalam.

Ainil berkata, ketika itu umurnya baru menginjak 12 tahun, tetapi keinginannya amat tinggi untuk mengetahui kandungan ramuan sambal hijau neneknya sehingga menjadi menu yang sedap.

Bagaimanapun, hasratnya untuk membuat sambal hijau tersebut terpaksa dipendam kerana mula bekerja sehinggalah dia mengambil keputusan berhenti kerja setelah hotel tempatnya bertugas tutup empat tahun lalu.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk mencuba memasak sambal hijau sebagaimana arwah nenek saya buat dahulu, keenakan sambal hijau ini terletak pada tiga cili yang dicampur iaitu cili kampung, cili biasa dan cili Thailand.

“Kesemua ramuan ini dibuat secara manual bagi mengekalkan keaslian pada bau dan rasa dengan menggiling cili tersebut tanpa menggunakan mesin pengisar sebelum dimasak dan dicampur dengan ikan bilis dan petai,” katanya.

Ujarnya, sehingga kini sambal hijau petai ikan bilis tersebut mendapat sambutan hangat sehingga menerima tempahan dari luar Johor termasuk Singapura.

Selain sambal ikan bilis, dia turut membuat sambal paru goreng dan telor belangkas yang juga mendapat permintaan tinggi daripada pelanggannya.

“Setiap hari saya bersama suami menyiapkan 50 sehingga 100 botol yang dijual pada harga RM15 bagi sambal hijau ikan bilis petai dan paru goreng, manakala telor belangkas pula berharga RM25,” katanya.

Namun, langit tidak selalunya cerah, perniagaan Ainil sejak pandemik Covid-19 sedikit merosot kepada 60 peratus kerana kurang mendapat tempahan dan tidak dapat merentas daerah dan negeri untuk tujuan penghantaran.

“Kalau sebelum ini boleh dapat hasil jualan kira-kira RM1,200 seminggu tapi sejak pandemik merosot dan hanya mampu mendapat kurang RM2,000 sebulan,” katanya yang boleh dihubungi melalui 011-1501 5933 untuk tempahan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya