Salah guna kedudukan urusan projek: Tiga termasuk seorang eksekutif GLC direman - Utusan Malaysia

Salah guna kedudukan urusan projek: Tiga termasuk seorang eksekutif GLC direman

TIGA individu termasuk seorang eksekutif syarikat GLC berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga individu termasuk seorang eksekutif syarikat milik kerajaan (GLC) ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan projek di syarikat GLC tersebut.

Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan reman dipohon pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah reman itu berakhir pada 29 Oktober nanti.

Akhbar semalam melaporkan SPRM Selangor menahan tiga individu termasuk seorang eksekutif GLC dipercayai menyalahgunakan kedudukan dalam urusan projek di syarikat GLC tersebut.

Turut ditahan dua pemilik syarikat swasta lain iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita yang juga dipercayai terlibat dalam projek tersebut.

Kesemua suspek berusia antara 40 hingga 57 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, eksekutif syarikat GLC terbabit menggunakan kedudukannya sebagai ketua projek dengan mengesyorkan dan melantik proksinya sebagai pengurus projek di syarikat swasta itu bagi menguruskan projek tersebut bagi pihaknya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN