Salah guna dadah: Anak Mohamad Sabu dibenar ketepi sabitan dan hukuman penjara lapan bulan - Utusan Malaysia

Salah guna dadah: Anak Mohamad Sabu dibenar ketepi sabitan dan hukuman penjara lapan bulan

AHMAD Saiful Islam Mohamad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana penyalahgunaan dadah. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan anak Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam daripada sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana menyalahgunakan dadah, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan anak bekas Menteri Pertahanan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret.

Beliau turut memerintahkan wang jaminan RM9,000 yang dikenakan kepada perayu ketika prosiding rayuan, dikembalikan kepadanya.

Ahmad Saiful Islam didakwa atas tuduhan menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini, pada pukul 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Hakim Collin ketika membacakan keputusannya berpuas hati bahawa Ahmad Saiful Islam, 33, dinafikan hak untuk menjalani ujian saringan air kencing dengan betul kerana proses pengambilan sampel tidak dilaksanakan secara teratur.

Beliau berpendapat, tindakan polis yang hanya mengambil satu botol sampel air kencing perayu boleh menyebabkan sampel itu dicemari.

Jelas Hakim Collin, ini kerana sampel yang digunakan untuk ujian saringan merupakan sampel yang sama digunakan di Jabatan Kimia untuk ujian pengesahan.

Oleh yang demikian, beliau berpuas hati bahawa kegagalan pihak polis untuk mematuhi peraturan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing menyebabkan sabitan itu cacat.

Hakim Collin selanjutnya menjelaskan, Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) F103 menyatakan pihak polis perlu mengambil dua botol sampel air kencing untuk ujian saringan.

Katanya, individu berkenaan diberi pilihan memilih dua botol, salah satunya untuk tujuan saringan oleh pihak polis, manakala sampel kedua perlu dihantar ke hospital untuk pengesahan selepas botol pertama disahkan positif dadah.

Jelas beliau, botol kedua perlu ditutup dengan kemas dan selamat berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan  Bil 6/2002 yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 mililiter (ml) sampel air kencing diambil dalam satu botol.

Oleh yang demikian, mahkamah berpuas hati bahawa hak perayu untuk menjalani ujian pengesahan kedua telah dinafikan dan dia kehilangan peluang kemungkinan dibebaskan daripada tuduhan.

“Penting agar ujian air kencing dijalankan mengikut peraturan yang telah ditetapkan agar integriti proses pengambilan sampel kekal terpelihara dan tidak terdedah” katanya.

Perayu diwakili oleh peguam-peguam Datuk Nicholas Kow, Emile Ezra Hussain dan Nasar Khan manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah.

Sementara itu, Ahmad Saiful Islam kelihatan ceria ketika ditemui pihak media di pekarangan mahkamah sejurus selepas pembebasannya.

Dia secara berseloroh mengungkap bait-bait lirik lagu ‘Jalan Panjang‘ yang dinyanyikan penyanyi Indonesia, Saykoji yang antara lain berbunyi: “Apa pun mereka bilang, tekadku takkan hilang, jalanku masih panjang, garis akhir yang kupandang.”

Pada 2 Julai tahun lalu, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang mensabitkannya atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara lapan bulan.

Pada 24 Jun tahun lalu, Mohamad Aizat Abdul Rahim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah ketika itu turut mengarahkannya menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya