Sabah, Sarawak terima manfaat besar Bajet 2022 - PM - Utusan Malaysia

Sabah, Sarawak terima manfaat besar Bajet 2022 – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sabah dan Sarawak menerima manfaat besar dalam Bajet 2022.

Perdana Menteri berkata, antaranya berkaitan subsidi bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak, infrastruktur luar bandar serta pos kawalan Pasukan Gerakan Am untuk tingkatkan kawalan keselamatan sempadan.

Menurut beliau, ini termasuk galakan ilmu warisan bagi anak-anak Sabah dan Sarawak, menaik taraf sekolah-sekolah daif selain pengangkutan dan pengedaran barang asas ke kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

“Juga bagi pelaksanaan bank susu ibu untuk bayi pramatang di hospital Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak menerima peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing kepada RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, Sabah dan Sarawak menerima tambahan peruntukan meningkat RM1 bilion berbanding belanjawan tahun lalu yang menyaksikan kedua-dua negeri berkenaan menerima RM5.1 bilion dan RM4.5 bilion.

Peruntukan ini antaranya adalah untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik dan jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Dalam pada itu, kerajaan akan menambah 20 lagi perkhidmatan bank bergerak yang dijangka beroperasi di 250 kawasan dan mukim di luar bandar kedua-dua negeri itu.

Hal itu selepas perkhidmatan berkenaan yang dimulakan di Sungai Asap, Belaga, Sarawak turut diperluaskan ke Sabah atas usaha Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, baru-baru ini.

Usaha bank bergerak yang dimulakan di Sarawak mendapat sambutan memberangsangkan. Penduduk luar bandar datang beramai-ramai untuk menggunakan perkhidmatan bank bergerak yang disediakan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya