TASEK GELUGOR: Skim Rumah Mampu Milik (RMM) yang dilaksanakan di negeri ini memberi ruang dan peluang kepada orang ramai membeli kediaman idaman dengan harga berpatutan.
Bagi kakitangan swasta yang bakal menghuni RMM (Kategori 2) Sena Mas di sini, Muhammad Haniff Rosli, 28, berkata, dia amat teruja kerana akhirnya berjaya membeli rumah sendiri yang sudah diimpikan sejak sekian lama.
“Walaupun saya bekerja di Teluk Kumbar, tetapi saya memilih rumah teres kerana harga yang ditawarkan berpatutan malah kemudahan yang disediakan juga amat berbaloi.
“Harga rumah teres ini kira-kira RM300,000 dan menyamai harga sebuah apartmen di bahagian pulau yang saya kira amat berbaloi apatah lagi tiada kesesakan di sini berbanding kawasan pulau.
“Saya amat bersyukur berpeluang membeli kediaman yang selesa tanpa perlu berbelanja lebih,” katanya selepas menerima surat tawaran Sena Mas di sini hari ini.
Taman perumahan Sena Mas dilengkapi sebanyak 388 unit kediaman yang terbahagi kepada dua jenis kategori berkeluasan 935 dan 1,093 kaki persegi bermula dengan harga serendah RM200,000.
Penolong jurutera, Mohd. Adnan Omar, 35, pula berkata, dia membeli rumah di kawasan berkenaan kerana mahu dekat dengan keluarganya.
“Saya memang berasal dari sini dan buat masa ini, saya dan isteri tinggal bersama emak sementara menunggu rumah ini siap. Selain kawasan rumah yang berpagar, lokasinya strategik dan hampir dengan pelbagai kemudahan awam lain membuatkan saya mengambil keputusan membeli rumah di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri menyasarkan 180,000 unit rumah mampu milik dibina menjelang tahun 2030.
“Penularan wabak Covid-19 merencatkan projek perumahan yang dirancang, namun kerajaan negeri terus memantau perjalanan projek pembinaan perumahan selaras dengan garis panduan perumahan mampu milik,” katanya. – UTUSAN