Rizal dalang, Rosmah dijadikan kambing hitam - Peguam - Utusan Malaysia

Rizal dalang, Rosmah dijadikan kambing hitam – Peguam

ROSMAH Mansor tiba di Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan bela diri di sini, hari ini. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan akan membuktikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datin Seri Rosmah Mansor dijadikan kambing hitam (scapegoat) oleh pihak-pihak tertentu yang bertindak menjual nama beliau untuk kepentingan peribadi dan politik masing-masing.

Keterangan pembelaan akan menjurus kepada peranan bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor yang bertanggungjawab menjadi dalang meminta dan menerima wang suapan berkaitan projek solar hibrid seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika membacakan pernyataan pembukaan berkata, Rizal pada awalnya didakwa bersama-sama Rosmah namun dilepas dan dibebaskan pada 8 Januari tahun lalu dan seterusnya dipanggil sebagai saksi utama pendakwaan (SP21) memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Pihak pembelaan akan membuktikan peranan Rizal yang mempergunakan kedudukan dan nama Rosmah untuk mencapai kehendak dan matlamat peribadi tanpa pengetahuan majikannya ketika itu.

“Rizal yang telah kebas (pocketed) wang RM5 juta walhal Rosmah tidak pernah terlibat dalam urusan meminta peratusan wang suapan, secara sendiri atau melalui saksi itu,” ujar kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, pembelaan akan mengemukakan keterangan bahawa Rosmah tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan ketiga-tiga pertuduhan yang dikemukakan.

Keterangan pembelaan menyatakan, sebelum Rosmah didakwa, tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak khususnya Saidi Abang Samsudin (SP17) dan Rayyan Radzwill Abdullah (SP16) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan tuduhan rasuah.

Pembelaan juga akan membuktikan, Rosmah tidak mengenali Saidi dan Rayyan Radzwill secara peribadi manakala pertemuan tertuduh dengan kedua-duanya pada 7 September 2017 di kediaman beliau di Langgak Duta di sini, diatur oleh Rizal.

Ujar kenyataan itu, pertemuan tersebut berlangsung kurang daripada lima minit yang mana tertuduh ketika itu sedang bersenam di rumah menunjukkan pertemuan itu berlaku secara spontan dan tidak dirancang.

Selain itu, dalam pertemuan tersebut wang RM1.5 juta itu tidak pernah diserahkan atau ditunjukkan kepada tertuduh.

Menurut pernyataan itu, apa yang sebaliknya berlaku adalah Saidi dan Rayyan Radzwill menunjukkan kepada tertuduh surat cadangan projek telaga air untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak.

Kedua-duanya memohon jasa baik Rosmah untuk memanjangkan surat cadangan tersebut kepada perhatian Najib agar bekas Perdana Menteri memberikan minit sokongan kepada projek telaga air tersebut.

Pembelaan menyatakan, Rosmah sebaliknya menolak permintaan itu dan menasihatkan Saidi supaya berurusan dengan Najib jika memerlukan pertolongan beliau.

Sehubungan itu, pembelaan akan membuktikan Rosmah tidak pernah membantu mana-mana kontraktor mendapatkan kontrak kerajaan dengan cara melobi atau apa-apa pendekatan sekalipun.

Kenyataan itu turut menyatakan, selaku isteri Perdana Menteri dan wanita pertama negara ketika itu, beliau tiada kuasa meluluskan apa-apa projek kerajaan manakala kesemua minit Perdana Menteri diperoleh oleh Datuk Aazmey Talib, bukan tertuduh.

Oleh yang demikian, pembelaan menyatakan, Rosmah tidak pernah meminta bagi dirinya melalui Rizal suatu suapan berjumlah RM187.5 juta yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi.

Selain itu, pembelaan akan membuktikan Rosmah tidak pernah menerima RM1.5 juta dan RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal bagi membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar secara rundingan terus.

Rosmah selanjutnya menafikan dakwaan dua buah beg kononnya mengandungi RM5 juta telah diterimanya pada 20 Disember 2016 di Seri Perdana kerana ia merupakan rekaan atau agenda Rizal untuk mengenakan tertuduh dan menyelamatkan dirinya sendiri.

Rosmah turut menafikan mengarahkan Rizal melalui perbualan telefon supaya membawa kedua-dua beg itu ke Sri Perdana.

Pembelaan turut menyatakan, isu sumbangan politik yang dikemukakan di mahkamah adalah idea Saidi dan Rayyan Radzwill untuk Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangannya pada pilihan raya akan datang.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN