Rosmah dibenar ke Singapura lawat anak bersalin - Utusan Malaysia

Rosmah dibenar ke Singapura lawat anak bersalin

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor dibenar ke Singapura minggu depan bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua di sebuah pusat perubatan pakar di negara itu, dua minggu lagi.

Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dibenar ke luar negara selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan beliau untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya yang ditahan ekoran pendakwaan kes rasuah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan dokumen perjalanannya yang berada dalam simpanan mahkamah selaras dengan prosedur jaminan sejak 2018, dipulangkan hari ini dan dikembalikan pada 6 Disember ini.

Mahkamah bagaimanapun mengeluarkan syarat bahawa isteri bekas Perdana Menteri hanya boleh memulakan perjalanan ke Singapura pada 22 Oktober dan pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November.

Ini bermakna, Rosmah hanya boleh memulakan perjalanan ke negara jiran untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Mohd. Najib, sehari selepas kesnya didengar di hadapan hakim berkenaan.

Perbicaraan terhadap Rosmah atas tuduhan rasuah melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion, dijadualkan bersambung 21 Oktober.

Dalam pada itu, Najib turut memfailkan notis usul untuk mendapatkan pasport ke Singapura atas urusan yang sama. Permohonan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Isnin ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam tidak membantah permohonan Rosmah mendapatkan pasport antarabangsanya selagi tidak mengganggu tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan iaitu pada 21 Oktober dan 8 Disember.

Sebelum itu, peguam Datuk Jagjit Singh memohon Rosmah dibenar pulang pada atau sebelum 24 November dan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Bagaimanapun Hakim Mohamed Zaini tidak bersetuju dan mencadangkan tarikh lebih awal iaitu pada 21 November bagi membolehkan tertuduh mempunyai masa beberapa hari sebelum hadir perbicaraan.

Rosmah yang memfailkan notis usul permohonan tersebut pada 12 Oktober lalu, merancang perjalanan dari hujung bulan ini sehingga minggu pertama Disember.

Beliau berharap mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk meneruskan perjalanan tanpa sebarang halangan.

Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, Rosmah menyatakan, Nooryana Najwa kini menetap di Singapura selepas mendirikan rumahtangga dengan warganegara Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev.

Menurut Rosmah, anak pertama beliau mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi sewaktu bersalin anak sulung iaitu pengaliran darah abnormal ke dalam uri janin.

Jelasnya, Nooryana Najwa ketika itu turut mengalami kehilangan takat air ketuban secara mendadak yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawanya serta bayi dalam kandungan.

Sehubungan itu, Rosmah menyatakan kehadiran beliau di sana sangat diperlukan untuk memberikan bantuan fizikal, emosi dan penjagaan dalam tempoh berpantang.

Sementara itu, surat bertarikh 7 Oktober lalu yang dikeluarkan oleh pusat perbuatan tersebut menyatakan, Nooryana Najwa mempunyai komplikasi kandungan berisiko tinggi sehingga menyebabkannya menjalani pembedahan ketika melahirkan anak sulung.

Perbicaraan terhadap Rosmah atas tuduhan rasuah melibatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 billion kini dalam peringkat kes pembelaan.

Rosmah, 69, dituduh meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor, melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN