Rombak pasukan tiada kaitan dengan tekanan penyokong - Cheng Hoe - Utusan Malaysia

Rombak pasukan tiada kaitan dengan tekanan penyokong – Cheng Hoe

TAN CHENG HOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rombakan skuad kebangsaan kali ini tiada kaitan dengan tekanan penyokong atau mana-mana pihak, sebaliknya misi utama pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe adalah untuk perbanyakan pilihan pemain.

Tambahnya, bagi memuaskan hati semua orang adalah perkara mustahil tetapi sebagai jurulatih sudah pasti perkara utama adalah memberi peluang dan membentuk sebuah pasukan terbaik untuk mengharungi setiap kejohanan atau perlawanan persahabatan.

“Kita memang tidak boleh puas hati semua orang. Tetapi yang penting kami barisan jurulatih dan juga pengurusan tertinggi ada perancangan tersendiri. 

“Saya merombak pasukan bukan kerana tekanan, keutamaan skuad kebangsaan sekarang adalah kita memerlukan ramai pemain supaya pada masa depan jika ada pemain dapat kecederaan atau digantung perlawanan, ada pemain yang bersedia untuk mewakili skuad kebangsaan nanti

“Kita tahu ini masa terbaik nak menguji pemain baharu, termasuk pemain senior bagi membentuk pasukan, seterusnya bersedia untuk Piala AFF 2020 dan kelayakan Piala Asia nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi Sabtu lalu.

SKUAD kebangsaan menjalani latihan setibanya di Amman, Jordan.

Bagaimanapun, jika dilihat senarai pemain yang berada di kem skuad kebangsaan kali ini, jelas ia seperti yang para penyokong inginkan ketika pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 pada Jun lalu. 

Majoriti dipilih atas sebab prestasi dan minit permainan pemain yang beraksi di Liga Malaysia, seperti yang disebut-sebut oleh penyokong sebelum ini.

Kemungkinan besar keputusan ini, mahu dibuktikan kepada para penyokong sama ada pandangan mereka lebih tepat dalam pemilihan pemain atau barisan jurulatih lebih arif tentang perkara berkenaan.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di Amman pada 6 Oktober dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Oktober.

Ketika ditanya mengenai keputusan yang diharapkan dalam dua pertemuan tersebut, keutamaan Cheng Hoe adalah mahu pemain baharu membuktikan kemampuan sebenar mereka.

“Kita harap pemain baru yang dipanggil mendapat pendedahan dan ini memberikan kita lebih banyak pilihan pada masa akan datang.

“Kalau tanya mana-mana jurulatih pun mereka nak dua-dua (keputusan dan pendedahan) sekali, tetapi dua perlawanan ini adalah sebagai pendedahan kepada pemain baharu di samping kita nak pastikan keserasian dan momentum pasukan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya