KUALA LUMPUR: Penyanyi, Fara Hezel berdepan detik cemas apabila anaknya, Tengku Muhammad Aisy Al-Abidin Petra terkunci dalam kereta sebelum diselamatkan dengan bantuan orang awam.
Jelas kakak penyanyi terkenal, Aiman Tino itu, kejadian tersebut berlaku selepas melakukan aktiviti riadah di sebuah rekreasi di Terengganu.
“Allahuakbar! Dugaan betul hari ini. Fara bawa Aisy jalan-jalan di Lagoon Kuala Ibai, Terengganu.
“Masa nak pulang, letak Aisy di kerusi bayi (kerusi belakang penumpang). Selepas kunci dia dan nak masuk kereta, kereta pula terkunci dari dalam.
“Tidak tahu nak cakap macam mana rasa debarnya itu. Nasib Aisy tidak menangis. Risau dia lemas sebab enjin kereta tidak hidup lagi,” luahnya di Instastory.
Tanpa berlengah, Fara meminta bantuan orang sekeliling untuk menyelamatkan putera hatinya itu dan menjadikan insiden tersebut sebagai pengajaran.
“Terus jerit panggil orang tolong. Terima kasih sangat-sangat kepada pak cik, abang-abang dan kakak-kakak yang membantu tadi. Fara suruh pecah tingkap, tidak fikir apa sudah.
“Mana yang menyaksikan kekalutan Fara tadi, minta maaf sangat menyusahkan. Selepas ini Fara akan lebih berhati-hati dan menjadikan semua ini sebagai pengajaran untuk diri Fara sendiri,” katanya lagi.
Sebagai informasi, Fara mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Tengku Mohammad Kaml Hishamuddin pada 2019 dan dikurniakan seorang zuriat yang lahir pada 18 Oktober tahun lalu. – UTUSAN ONLINE