Rindu aksi gimnastik arwah Keisya Nawrah - Sepupu

Rindu aksi gimnastik arwah Keisya Nawrah – Sepupu

PASUKAN perubatan memberikan rawatan awal selepas mangsa jatuh dari tingkat 7 kuarters penjawat awam di Presint 5, Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Kami sangat rapat dan sering membuat panggilan video. Sepatutnya bulan depan kami rancang berjumpa di kampung dan dia sangat teruja,” kata Ika Shuhada Khaidir, 26, sepupu kepada kanak-kanak 11 tahun yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tujuh Isnin lalu.

Menurutnya, biarpun beza usia sangat jauh, namun hubungan mereka rapat, malah dia pernah menziarahi Keisya Nawrah Md. Rizal serta keluarganya sebanyak dua kali sewaktu mereka tinggal di Dubai kira-kira lima tahun.

“Dia seorang yang ceria, aktif dan badannya juga lembut. Dia gemar melakukan aksi seperti gimnastik.  

“Kali terakhir kami berjumpa pada hari raya Aidiladha tahun lepas memandangkan saya tinggal dan bekerja di Johor serta tidak boleh merentas negeri ketika itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Ika Shuhada berkata, sewaktu berhubung melalui panggilan video, sepupunya melahirkan rasa teruja untuk pulang ke kampung mereka di Johor.

“Kami juga merancang berjumpa di kampung pada bulan depan dan bercuti bersama, namun sebaliknya berlaku,” katanya sebak.

Ujarnya, Keisya Nawrah juga suka menunjukkan aksi baharu semasa berbual bersama malah kanak-kanak itu suka menonton video gimnastik.

“Dia juga sangat sukakan kucing. Apabila kami ‘video call’, dia suka bertanya mengenai keadaan kucing dahulu sebelum saya.

“Sebelum ini, dia tinggal di Dubai selama lima tahun dan saya pernah melawat dia di sana sebanyak dua kali sebelum berpindah kembali ke Malaysia dan tinggal di Putrajaya,” katanya.

Isnin lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 7 sebuah kuarters penjawat awam di sini, petang Isnin. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.55 petang di sebuah kuarters penjawat awam di Presint 5 itu, mangsa dikenali sebagai Keisya Nawrah ditemui orang awam di bawah bangunan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya