Reman suspek bunuh pesara tentera disambung seminggu - Utusan Malaysia

Reman suspek bunuh pesara tentera disambung seminggu

SUSPEK kes bunuh seorang lelaki di Bukit Sumpitan dekat Selama, Perak, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Taiping hari ini selepas perintah reman disambung tujuh hari lagi. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Perintah tahanan reman ke atas seorang anggota tentera yang merupakan suspek utama kes bunuh seorang lelaki di Bukit Sumpitan dekat Selama, Selasa lalu disambung tujuh hari lagi.

Tempoh tahanan reman sehingga Rabu ini dikeluarkan terhadap pegawai waran berusia 34 tahun itu setelah tempoh reman tujuh hari sejak Khamis lalu berakhir hari ini.

Majistret Nur Farah Syahidah Mohd. Noh mengeluarkan perintah tersebut di Mahkamah Majistret Taiping, di sini hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum meninggalkan mahkamah hampir sejam kemudian.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemukan di kawasan semak kira-kira 60 meter dari tepi jalan di Bukit Sumpitan, Selama.

Mayat dengan sembilan kesan tikaman di badan itu dijumpai dalam keadaan hampir membusuk dipercayai meninggal dunia dalam tempoh tiga hari.

Mangsa yang juga pesara tentera itu adalah individu yang dilaporkan dilarikan secara paksa dari rumahnya oleh dua individu dikenali di Taman Ngah Ibrahim, Taiping pada Ahad lalu.

 Susulan itu, tangkapan dilakukan terhadap lelaki berusia 31 tahun pada Selasa di Taiping manakala anggota tentera itu pula diberkas di Perlis Rabu lepas.

Punca pembunuhan dipercayai akibat masalah cemburu yang mana anggota tentera itu menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Tempoh reman terhadap lelaki berusia 31 tahun itu pula berakhir Jumaat ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN