PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Que Haidar mengakui terkejut selepas mengetahui berita pemergian pengarah tersohor tanah air, Mamat Khalid ketika sedang membuat siaran langsung di aplikasi TikTok.
Menerusi entri tersebut, dia mengetahui berita duka berkenaan apabila ramai warganet mengucapkan salam takziah dan Al-Fatihah di ruangan komen menerusi siaran langsung itu.
Sehubungan itu, pelakon filem popular Rock itu serta merta meminta mengundur diri serta terpaksa mematikan siaran langsung berkenaan bagi mendapatkan kesahihan berita tersebut.
“Okay semua, saya rasa terpaksa untuk menghentikan siaran langsung ini. Saya nak pergi periksa. Saya minta maaf semua,” kata Que beraut wajah bingung dan terkejut.
Selepas itu, Que telah memuat naik hantaran video yang memaparkan dia bersama arwah, selepas mendapat tahu kesahihan berita kematian tersebut.
“Antara pengarah terawal mengesan bakat saya. Bermula dengan satu komersil Putrajaya.
“Seterusnya menghadiahkan saya Amy Mat Piah juga Deris. Al-Fatihah,” coretnya ringkas di Tiktok.
Allahyarham Mamat Khalid telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River, jam 12.30 tengah malam tadi.