Sanggup pukul nenek sendiri, buruh dipenjara 15 bulan

Pukul nenek sendiri, buruh dipenjara 15 bulan

MUHAMAD Zulhafize (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini bagi pertuduhan sengaja mencederakan neneknya. - FOTO/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh yang tergamak memukul nenek sendiri hingga cedera baru-baru ini, menerima balasan setimpal apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Muhamad Zulhafize Zulkarnain, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan ke atasnya di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mencederakan neneknya, Jawahir Ab Wahab, 80, sehingga lebam pada dahi sebelah kiri di sebuah rumah di Kampung Kerak, Ketereh, di sini kira-kira pukul 4.30 petang 1 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan dan denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akmal Mohd. Bakri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan.

Nurul Akmal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana menyebabkan kecederaan kepada nenek sendiri yang sudah tua dan uzur sehingga mangsa trauma.

Walau bagaimanapun, Roshayati dalam rayuannya memohon hukuman minimum kerana tertuduh merupakan seorang bapa tunggal yang perlu menanggung seorang anak selain dia sendiri menghidap gout dan penyakit saraf.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan bermula dari tarikh jatuh hukum.

Mengikut fakta kes, Muhamad Zulhafize memukul neneknya sendiri dengan tangan kerana mangsa enggan memberikan wang dimintanya.

Dia dikatakan sering meminta wang daripada warga emas terbabit dan selepas kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan polis baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN