JASIN: UMNO memberi jaminan bahawa pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi, akan menjunjung konsep setia kawan dalam Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad diputuskan kerana parti masih lagi mengadakan rundingan dengan MIC, MCA serta komponen yang lain.
“Kunci paling penting adalah perundingan. Kita akan terus berunding dengan parti komponen BN demi semangat setia kawan.
“Setakat ini, tidak ada sebarang keputusan muktamad diputuskan, memandangkan kita masih menunggu apa yang akan berlaku berhubung PRN, yang akan diumumkan minggu depan sama ada diteruskan atau dilewatkan.
“UMNO memberi jaminan, keputusan yang akan kita buat berhubung senarai calon sama ada daripada UMNO, MCA dan MIC adalah yang terbaik demi memastikan BN memenangi PRN negeri,” katanya ketika ditemui pada program Taklimat Khas Penerangan dan Isu-isu Politik Semasa di Kelab Golf Heritage dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hassan Rahman.
Pada majlis tersebut juga, Ahmad turut melancarkan Akademi Kepimpinan UMNO Bahagian Jasin.
Mengulas lanjut mengenai hasrat UMNO Bahagian Jasin dan Tangga Batu untuk meletakkan calon di kerusi milik MCA iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban serta Klebang, beliau menegaskan, perkara tersebut belum dimuktamadkan.
Jelasnya, pucuk pimpinan akan mengadakan rundingan dengan kepemimpinan negeri sebelum berhubung status setiap DUN.
“Kita berbincang beberapa kali sebelum kerajaan negeri dibubarkan tetapi ingin saya tegaskan kita masih lagi berunding dengan komponen dalam BN, belum ada sebarang keputusan dibuat.
“Tunggulah keputusan yang akan kita ambil nanti, adalah yang terbaik dan memuaskan hati semua pihak dalam BN. Keputusan yang akan dibuat mengambil kira semangat setia kawan dalam BN sendiri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE