Polis nafi dakwaan Klang bandar paling tidak selamat - Utusan Malaysia

Polis nafi dakwaan Klang bandar paling tidak selamat

ARJUNAIDI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis menafikan laporan sebuah laman sesawang yang mendakwa  Klang disenaraikan sebagai bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, berita bahawa Klang turut memiliki kadar keselamatan paling rendah itu disifatkan mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

“Maklumat artikel yang diterbitkan berkaitan indeks jenayah dan indeks keselamatan itu tidak dapat dipastikan kesahihan serta sumbernya. 

“Kaedah kajian secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden juga tidak menggambarkan atau mewakili keseluruhan masyarakat Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebuah laman web, Numbeo.com memaparkan laporan indeks jenayah di Asia Tenggara menunjukkan tiga bandar utama di negara ini seperti Klang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor berada dalam lima teratas sebagai bandar paling tidak selamat di rantau ini.

Laporan itu turut menunjukkan dua bandar lain berada dalam lima teratas adalah dua bandar utama di Filipina iaitu Manila dan Quezon City, sementara negara jiran seperti Pattaya dan Bangkok di Thailand berada pada kedudukan 11 dan 15 sementara Singapura pula, di tempat ke – 20.

Arjunaidi menambah, statistik polis menunjukkan jenayah kekerasan di daerah itu melebihi nilai ambang sebanyak 31.76 kes atau enam peratus antara 1 Januari sehingga 30 September lalu.

“Bagi jenayah harta benda, ia berada di bawah nilai ambang iaitu 195.44 kes atau 13 peratus sepanjang tempoh sama. Secara keseluruhannya, daerah Klang berada di bawah nilai ambang iaitu sebanyak 163.68 kes atau lapan peratus,” ujarnya.

Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak gusar atau bimbang dengan laporan laman sesawang berkenaan.

“Ia tidak menggambarkan statistik dan fakta sebenar kejadian jenayah yang berlaku di Klang,” tegasnya.

Numbeo merupakan sebuah laman sesawang berasal dari Serbia yang diasaskan oleh seorang jurutera perisian, Mladen Adamovic yang pernah bekerja dengan syarikat carian enjin gergasi, Google pada tahun 2007 hingga 2009.

Mengenai indeks jenayah di Asia Tenggara, laporan tersebut dibuat berdasarkan satu tinjauan yang dilakukan terhadap pengunjung laman web berkenaan menggunakan kaedah yang sama dengan penyelidikan dilakukan oleh agensi kerajaan.

Malah data yang diperoleh hanya digunakan dalam tempoh 36 bulan, kemudian penyelidikan terhadap tinjauan baharu akan dilakukan untuk mendapatkan laporan terkini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya