BERA: Rumah milik seorang penduduk Kampung Seberang Guai, dekat sini, Norhazlina Nordin rosak teruk di bahagian belakang selepas ditimpa sebatang pokok jering tua yang tumbang ekoran angin ribut dalam kejadian pada pukul 1.50 pagi ini.
Norhazlina berkata, ketika angin ribut ‘mengganas’ dan hujan lebat kira-kira 30 minit, dia tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang rumah.
“Saya keluar dari bilik menjengah ke belakang rumah dan terkejut melihat bahagian bumbung ranap dihempap sebatang pokok jering tua.
“Angin ribut memang kencang malam semalam dan saya juga terdengar beberapa batang pokok buah-buahan berdekatan rumah ini patah malah ada yang tumbang,” katanya.
Wanita itu dikunjungi Pegawai Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) hari ini menyampaikan sumbangan RM500 bagi membaikpulih bumbung dan atap kediaman berkenaan. – UTUSAN ONLINE