Perdana Menteri ucap takziah keluarga Mohd. Diya

PM ucap takziah kepada keluarga Mohd. Diya

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham anggota bomba Mohd. Diya Che Jusoh, yang meninggal dunia awal pagi ini.

Perdana Menteri berkata, beliau mendapat perkhabaran mendukacitakan itu selepas Allahyarham terlibat membantu mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka semalam.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd. Diya serta seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka. 

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, jenazah Mohd. Diya selamat dikebumikan di Perkuburan Masjid An-Nur, Kampung Krubong di sini, tengah hari tadi. 

Urusan pengebumian jenazah Allahyarham dilaksanakan dengan istiadat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dihadiri kira-kira 200 anggota serta penduduk kampung untuk memberi penghormatan terakhir.

Mohd. Diya, 46, berpangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah menghembuskan nafas terakhir, pukul 3.11 pagi tadi.   

Allahyarham lemas dalam kejadian pada pukul 5.06 petang ketika cuba menyelamatkan seramai 14 orang penduduk kampung yang terperangkap di anjung sebuah rumah di kawasan berkenaan dan tergelincir akibat ditolak arus deras dan terperangkap di longgokan rumput hanyut.

Beliau kemudiannya diselamatkan oleh anggota bomba yang lain serta diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya