KOTA TINGGI: Empat pintu sempadan antarabangsa baharu dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini atau suku pertama tahun depan.
Fasiliti itu membabitkan Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, di sini, selain di Telok Melano dan Baleh, Sarawak, serta Lembah Silika, Terengganu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembukaan berkenaan bukan sahaja sebagai persediaan kemasukan pelancong jika rentas sempadan dibenarkan kelak bahkan mampu melonjakkan ekonomi di kawasan terlibat.
“Bagi Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, ia sudah bersedia untuk dibuka sepenuhnya dengan tinjauan hari ini mendapati semua agensi juga bersedia ditempatkan di kemudahan ini.
“Kita hanya tunggu pengumuman pembukaan sempadan sahaja yang kemudian terminal ini boleh beroperasi penuh selewat-lewatnya menjelang Tahun Baharu Cina,” katanya selepas meninjau Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, di sini, semalam.
Katanya, Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast turut dilengkapi dengan sistem e-gate automatik imigresen dua arah pertama di Malaysia.
Hamzah berkata, kemudahan itu adalah sistem generasi baharu yang menawarkan pintu buaian berganda dengan ciri keselamatan, menjadikan pemeriksaan imigresen lebih pantas ketika waktu puncak.
“Bagi pintu sempadan antarabangsa di Telok Melano dan Baleh, Sarawak, serta Lembah Silika, Terengganu pula, ia masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun depan,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2022, sektor pertahanan dan ketenteraman awam terus diutamakan selepas kerajaan meluluskan empat pintu masuk imigresen baharu.
Antara pintu masuk baharu yang diumumkan antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan melalui imigresen susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano.
Sementara itu, Terminal Feri Desaru Coast yang dilengkapi kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta kemudahan maritim, akan melancarkan perjalanan antarabangsa ke Malaysia dengan akses terus dari Singapura, kepulauan Riau di Batam dan Kepulauan Bintan.
Terminal tersebut turut akan menghubungkan perjalanan laut melalui Terminal Feri Tanah Merah, Singapura.-UTUSAN ONLINE