Pihak pendakwaan fail rayuan keputusan kes basikal lajak - Utusan Malaysia

Pihak pendakwaan fail rayuan keputusan kes basikal lajak

PIHAK pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret bersabit kes basikal lajak di Kompleks Mahkamah Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang membebas dan melepaskan seorang jurujual wanita atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.

Rayuan berkenaan difailkan Penolong Pegawai Undang-Undang, Pejabat Penasihat Undang-Undang Johor, Nurrul Azrina Arza dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali di kaunter Mahkamah Majistret/Sesyen, Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini pada pukul 9.15 pagi tadi. 

Yang hadir sama Pegawai Penyiasat Trafik Johor Bahru Selatan, Asisten Superintenden Mohd. Yusop Mohd. Ali dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan.

Pendakwaan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Muhammad Syafiq ketika ditemui pemberita memberitahu, rayuan berkenaan difailkan hari ini susulan arahan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semalam.

“Apabila failkan notis rayuan, kita akan terima rekod rayuan, kemudian kita fail petisyen rayuan. Selepas ini, kita tunggu tarikh daripada mahkamah untuk perbicaraan rayuan tersebut,” katanya.

Ahad lalu, Mahkamah Majistret di sini membebas dan melepaskan Sam Ke Ting, 26, daripada pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada pukul 3.20 pagi, 18 Feb 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan terdapat kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap wanita berkenaan.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi mengarah tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya serta mengetepikan perintah Mahkamah Majistret pada 28 Oktober 2019 yang membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak.

Mereka yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16.

Jurujual wanita itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN