MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka akan merujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan kerajaan sementara (caretaker) seperti mana diumumkan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, petang tadi.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, PH turut berpandangan adalah tidak wajar Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri dalam kerajaan caretaker itu.
“Ini adalah selaras dengan apa yang berlaku pada Mac 2020, iaitu tugas pentadbiran kerajaan negeri dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Ab. Rauf mengumumkan pembubaran DUN Melaka selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) bersama tiga lagi ahli dewan undangan negeri (ADUN) iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, berkuat kuasa serta-merta.
Sementara itu, Adly menyelar sikap Sulaiman yang disifatkan tidak bertanggungjawab apabila memohon pembubaran DUN Melaka Ke-14.
Katanya, ini kerana rakyat masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19, malah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak juga telah ditangguhkan atas alasan yang sama.
Pada masa sama, Perikatan Nasional (PN) Melaka turut melahirkan kekesalan dan kecewa dengan keputusan pembubaran DUN Melaka, namun tetap bersedia menghadapi PRN.- UTUSAN ONLINE.