KUANTAN: Seorang pesara guru kehilangan wang simpanan RM25,600 akibat diperdaya panggilan ‘phone scam’ apabila menyerahkan maklumat peribadi hingga mengalami kerugian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 65 tahun dari Temerloh menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengaku sebagai wakil Etiqa Takaful Dataran Maybank Kuala Lumpur.
Menurutnya, pada 20 September lalu, suspek terbabit memaklumkan terdapat tuntutan insurans kemalangan berjumlah RM36,800 atas nama mangsa sebelum panggilan disambungkan pula ke dua individu lain yang mengaku sebagai polis.
“Mangsa diberitahu namanya terlibat dengan kes pengumpulan wang haram berjumlah RM2.18 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa juga diminta membuat penukaran kad bank miliknya dan mendaftarkan nombor telefon diberikan untuk kad bank yang baharu itu bagi tujuan siasatan.
“Selepas mangsa berbuat demikian, dia diminta untuk menghantar gambar kad bank tersebut dan gambar buku akaun Tabung Haji yang tertera nombor akaun dengan alasan untuk siasatan.
“Namun begitu, semalam, mangsa membuat semakan di akaun Bank Rakyat dan mendapati wang simpanannya mengalami kekurangan sebanyak RM9,600 dan wang simpanan di akaun Tabung Haji juga berkurangan sebanyak RM16,000,” katanya.
Menurutnya, mangsa segera ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk membuat laporan kerana berasa ditipu dan mengalami kerugian dengan jumlah sehingga lebih RM20,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.