Permohonan Syed Saddiq, 12 individu cabar keputusan menteri dan RoS 14 Disember - Utusan Malaysia

Permohonan Syed Saddiq, 12 individu cabar keputusan menteri dan RoS 14 Disember

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri yang menolak pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Disember ini.

Permohonan semakan kehakiman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Tarikh itu dimaklumkan kepada pihak media oleh Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Ali selepas sesi pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Aslamiah Jamil manakala peguam Lim Wei Jiet mewakili Syed Saddiq dan 12 yang lain.

Pada 21 September lalu, Syed Saddiq serta 12 individu selaku pemohon memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pada 24 Ogos lalu, Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu tersebut memfailkan permohonan kebenaran yang baharu bagi mencabar keputusan menteri dan RoS menolak rayuan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik.

Mereka memohon suatu deklarasi bahawa permohonan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan di bawah kategori parti politik adalah teratur dan telah mematuhi segala keperluan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mereka juga memohon suatu perintah mandamus untuk kedua-dua responden mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan dalam kategori pertubuhan politik dalam masa 14 hari dari tarikh perintah.

Selain itu, suatu perintah ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai, kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Pada 18 Ogos lalu, MUDA menarik balik permohonan semakan kehakiman sebelum ini yang mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan MUDA. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN