PADANG BESAR: Perlis dijangka menjadi pengeluar produk industri hiliran berasaskan kenaf untuk zon utara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kenaf berpontensi tinggi kerana keseluruhan pokok tersebut mempunyai kegunaan tersendiri.
Kata beliau, antaranya fiber boleh digunakan untuk membuat tilam, perabot dan insulasi dalam kereta selain batang pokok untuk membuat jalan serta daun untuk digunakan kembali sebagai baja.
Ujarnya, bagi mencapai hasrat tersebut, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi memanjangkan tempoh pajakan kepada pengusaha, Kenaf Venture Global Sdn. Bhd. (KVG) sehingga 25 tahun supaya pelaburan untuk membuka kilang dan membeli jentera baharu dapat dilakukan.
“Dengan tanah seluas 200 hektar dan juga penanam kecil dalam kalangan penduduk kampung sebanyak 50 hektar ketika ini, mungkin sudah tiba masanya untuk mengembangkan industri kenaf di Perlis bukan sahaja untuk mengeluarkan biji benih.
“Jika ini dapat dilaksanakan, maka ia akan menghasilkan pendapatan bukan sahaja untuk negeri tetapi juga untuk negara. Lebih baik kerajaan negeri memberi pajakan jangka panjang bagi memudahkan KVG dan lain-lain (pemain industri) untuk membuat pelaburan yang lebih berkesan dan efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di ladang kenaf dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara KVG dan SIRIM Bhd di Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Chuping di sini hari ini.
MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden KVG, Azman Ahmad dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad.
Melalui perjanjian tersebut, KVG menerima pengiktirafan pengurusan ISO 9001 daripada SIRIM bagi membolehkan mereka meneroka pasaran antarabangsa melalui Dubai Expo 2020 tidak lama lagi. – UTUSAN ONLINE