GEORGETOWN: Selepas hampir setahun perniagaan perkhidmatan bot memancing ke Pulau Kendi dekat sini sepi tanpa tempahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya pengusaha bot memancing di negeri ini lega apabila perniagaan mereka kembali rancak setelah kerajaan membenarkan rentas negeri.
Seorang pengusaha bot memancing, Mohd. Nasir Mohd. Shah, 31, berkata, dia sudah menerima banyak tempahan daripada kaki pancing termasuk dari Kedah dan Perak yang mahu mencuba memburu spesies ikan bersaiz besar seperti ikan kerapu, gerepoh (GT) dan jenahak yang banyak terdapat di kawasan sekitar Pulau Kendi.
Katanya, dia bersyukur kerana sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri, tempahan trip memancing yang diterimanya terus meningkat 100 peratus.
“Bagi bulan Oktober, slot memancing ke Pulau Kendi dan kawasan sekitarnya telah pun penuh, sekarang yang tinggal trip untuk November dan Disember.
“Pengusaha bot memang lega dengan keadaan ini sebab sudah lama perniagaan kami perlahan, hanya selepas kerajaan benarkan rentas negeri baru ramai yang tempah trip memancing dari kami,’’ katanya di sini, semalam.
Menurut Mohd. Nasir, dia menjalankan perkhidmatan sewa bot ke Pulau Kendi dan kawasan sekitar setiap hujung minggu dan pada masa ini turut menjalankan perkhidmatan pada hari biasa sekiranya terdapat permintaan daripada pelanggan.
Katanya, antara faktor utama yang menyebabkan Pulau Kendi terkenal sejak dahulu dalam kalangan kaki pancing ialah air yang jernih serta kewujudan terumbu karang menjadikan kawasan itu kaya dengan pelbagai spesies ikan.
“Antara ikan yang kerap dijinakkan di sini ialah ikan kerapu, jenahak serta GT dan ada juga ikan dari kawasan luar seperti ikan tongkol dan tenggiri bermain-main di kawasan ini.
“Selain itu untuk mendapatkan ikan bersaiz besar pemancing juga tidak perlu pergi jauh seperti kita perlu memancing hingga di kawasan pelantar minyak, cukup sekadar melabuhkan umpan di Pulau Kendi.
“Jika pemancing bernasib baik mereka boleh melihat penyu atau ikan lumba-lumba yang kerap mencari makanan di perairan ini,” katanya.
Tambahnya, pemancing terutama dari sekitar Perak dan Kedah yang pernah memancing di Pulau Kendi pasti akan kembali ke situ kerana tidak puas menguji kail mereka.
“Bagi mereka yang mahu merasai sendiri pengalaman memancing di Pulau Kendi, mereka boleh meninjau laman Facebook Memancing di Pulau Pinang atau menghubungi saya di talian 013- 4167214, ” katanya.- UTUSAN ONLINE