Perginya seorang sahabat, abang, pemimpin - Utusan Malaysia

Perginya seorang sahabat, abang, pemimpin

ZOLKPLES EMBONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemergian Datuk Seri Zolkples Embong amat mengejutkan seluruh warga sukan tanah air yang menyifatkan ia kehilangan besar kerana Allahyarham tetap memberikan sumbangan sekali pun selepas tidak lagi menggalas jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Semalam, Zolkples ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Pandan Indah, Ampang pada usia 62 tahun, dipercayai akibat serangan jantung. 

Selain mengetuai MSN dari April 2007 hingga Disember 2014, Zolkples juga pernah menggalas jawatan Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 2000 hingga 2002, selain Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC). 

Selepas tidak lagi menyandang jawatan dan bersara wajib, tokoh sukan kelahiran Dungun, Terengganu itu bagaimanapun tetap aktif dalam memberikan idea. 

“Kami sangat terkejut dan sedih. Saya menganggapnya sebagai mentor, abang dan sahabat. Sumbangannya kepada sukan Malaysia amat besar,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. 

“Seorang rakan dan bekas rakan sekerja dalam Sukan tanah air sudah tiada lagi. Arwah ditemui meninggal dunia di kediamannya pagi tadi, di mana arwah tinggal bersendirian.

“Kami berjuang bersama sebagai rakan sekerja yang berusaha untuk kemajuan dan kejayaan sukan negara…Kami saling menghormati dan menghargai serta bersahabat. Saya akan sangat merindukannya,” kata bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz. 

Jurulatih jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, John Beasley turut menitipkan rasa simpati dari Australia.

“Berita yang sangat menyedihkan, kehilangan beliau akan dirasai oleh ramai pihak, namun jasanya tidak boleh dilupakan,” katanya. 

MSN dalam satu kenyataan sebelum itu berkata, Zolkples meninggal dunia bersendirian di rumahnya dan kematian  Arwah disedari beberapa pegawai MSN yang cuba menghubunginya  sejak Jumaat apabila mendapati beliau tidak hadir solat Jumaat di Vista MSN, Bukit Jalil. 

“Pagi ini (Ahad), beberapa pegawai MSN telah pergi ke rumah beliau dan didapati berkunci. Pihak Polis dan Bomba telah dihubungi dan selepas berjaya membuka pintu rumah, Arwah telah terbaring di ruang dapur rumahnya,” kata kenyataan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan di rumah serta pada mayat yang ditemui tiada tanda-tanda pecah masuk atau pergelutan. 

“Menurut keluarga Allahyarham, beliau pernah membuat pembedahan jantung kira kira 10 tahun lalu dan tidak pernah membuat sebarang rawatan susulan selepas itu.

“Menurut keluarganya lagi, kali terakhir arwah membuat ujian saringan Covid-19 adalah pada Jumaat lalu dan keputusannya negatif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya