REMBAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor kerbau yang melintas dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Chengkau Ulu di sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.17 malam itu, mangsa, Aiman Norahzan, 20, beralamat di Kampung Batu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari arah Chengkau Ulu menghala ke Batang Nyamor.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa telah melanggar seekor kerbau yang sedang melintas menyebabkan mangsa telah terjatuh di atas jalan di tempat kejadian. Saksi bebas ada di kawasan kejadian dan melihat bagaimana kemalangan berlaku.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya hari ini.
Hazri berkata,mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-UTUSAN ONLINE