CYBERJAYA: Seorang penunggang basikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dalam kejadian pukul 8.15 pagi di Kilometer (KM) 38.3 Jalan Cyberjaya (Dengkil)/Puchong menghala ke Cyberjaya, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati, kereta tersebut dipandu seorang wanita berusia 28 tahun dari susur keluar Putrajaya/Bangi.
Menurutnya, ia kemudian melanggar belakang basikal ditunggang seorang lelaki berusia 57 tahun yang datang dari arah Puchong.
“Semasa kejadian, mangsa yang juga kakitangan Astro sedang berbasikal di lorong nombor tiga. Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Berikutan itu, mayat dibawa ke Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, sewaktu kejadian, permukaan jalan adalah lurus, rata, kering serta mempunyaI lima lorong manakala, cuaca juga dalam keadaan baik.
Tambah beliau, pemandu wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kenderaan yang terlibat dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Sepang untuk siasatan lanjut.
“Kereta tersebut mengalami kerosakan seperti pecah bumper dan lampu hadapan sebelah kanan, bonet hadapan kemek, cermin hadapan retak dan lain-lain kerosakan belum dipastikan. Basikal tersebut mengalami pelbagai kerosakan di bahagian belakang,” ujarnya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN