KUANTAN: Akibat takut dikenakan tindakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang peniaga halia di Raub, dekat sini kerugian RM139,500 ditipu sindiket Macau Scam, bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita dipercayai menyamar sebagai pegawai LHDN Melaka dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM30,800.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang berusia 50 tahun itu berada di rumahnya di Sungai Ruan, Raub.
“Suspek kemudiannya memberitahu mangsa untuk bercakap dengan seorang ‘pegawai polis’ lelaki selepas mangsa menafikan mempunyai cukai tertunggak.
“Suspek kedua yang dipercayai menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu kemudiannya meminta maklumat mangsa, termasuk maklumat berkaitan akaun bank mangsa bagi tujuan laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, mangsa diminta membuat transaksi ke dua nombor akaun diberikan ‘pegawai polis’ berkenaan bagi tujuan siasatan.
Katanya, dalam kejadian bermula 25 September hingga 27 September lalu, mangsa melakukan 11 transaksi ke dua nombor akaun diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM139,500.
“Mangsa menyerahkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) seperti diarahkan ‘pegawai polis’ terbabit dan dia menyedari ditipu apabila suspek terus meminta wang selepas 11 kali pembayaran dibuat,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, setelah merasakan tertipu mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan, dekat Raub, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN