Pengguna jalan raya gempar lelaki acu parang - Utusan Malaysia

Pengguna jalan raya gempar lelaki acu parang

SEORANG lelaki tidak berbaju mengacu parang kepada kenderaan yang lalu di Jalan Temerloh-Maran di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Tindakan seorang lelaki tidak berbaju mengamuk dengan mengacukan parang kepada kenderaan di Jalan Temerloh-Maran berhampiran Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh di sini menggemparkan pengguna jalan raya di situ.

Tindakan itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas apabila pengguna jalan raya tidak berani melalui kawasan tersebut kerana bimbang risiko keselamatan.

Seorang saksi, Khaidir Ahmad, 59, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, dia dalam perjalanan menaiki kereta ke arah Maran dekat sini. 

Beliau berkata, apabila tiba di lokasi kejadian, jalan sesak dan terdapat seorang lelaki memegang parang serta mengacukannya kepada kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

“Saya terkejut namun beranikan diri memandu kereta lalu di laluan itu dan bernasib baik tidak diserang lelaki berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusof berkata, lelaki berusia 30-an itu telah ditahan polis. 

Menurutnya, kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan terhadap orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk sekiranya suspek mempunyai masalah mental.

“Setakat ini tiada individu yang tampil membuat laporan polis dan siasatan dilakukan terhadap suspek termasuklah juga saringan air kencing,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN