Pengasuh dipenjara setahun, denda RM10,000 abai bayi 11 bulan - Utusan Malaysia

Pengasuh dipenjara setahun, denda RM10,000 abai bayi 11 bulan

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap kesalahan mengabaikan seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga patah tulang belakang, tahun lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu terhadap Azlina Lizawati Ahmad Tarmizi, 37, selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah sewaktu kes disebut di hadapannya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dikuatkuasakan bermula hari ini dan penjara dua bulan lagi sekiranya denda itu gagal dibayar.

Tertuduh turut dikenakan bon berkelakukan baik dengan cagaran RM5,000 selama tiga tahun dan perlu menjalani khidmat masyarakat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh selama 180 jam.

Mengikut pertuduhan, Azlina sebagai pengasuh didakwa melakukan pengabaian terhadap bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan iaitu patah tulang belakang.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah  di Desa Tun Hussein Onn, Jalan Jelatek di sini antara pukul 7 pagi dan 10 pagi pada 23 Julai tahun lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shahieza Md. Hazaid memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kecederaan serius yang dialami mangsa.

“Tertuduh merupakan pengasuh yang tidak berdaftar dengan JKM dan tidak mempunyai sebarang sijil atau kelayakan bagi pendidikan awal kanak-kanak.

“Peningkatan kes-kes penderaan, pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak oleh pengasuh di Malaysia jelas menunjukkan hukuman berat perlu diberikan sebagai pengajaran buat tertuduh dan masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Raihanah Abd Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan tertuduh telah mengaku bersalah pada peringkat awal kes.

Peguam menyatakan, anak guamnya merupakan ibu kepada tiga orang anak yang masih kecil yang mana anak bongsunya berusia lima bulan dan kes itu kesalahan pertama yang dilakukannya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN