Penganjur sidang akhbar Muda dikompaun RM4,000 - Utusan Malaysia

Penganjur sidang akhbar Muda dikompaun RM4,000

SYED SADDIQ Syed Abdul Rahman melakukan sidang akhbar di hadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penganjur majlis sidang akhbar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diadakan di hadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir di sini hari ini dikenakan tindakan kompaun RM4,000.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tindakan itu dikenakan selepas kumpulan berkenaan didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang melarang sebarang perhimpunan berkaitan pilihan raya.

“Pasukan pemantau pematuhan tiba di lokasi pada pukul 12 tengah hari dan mendapati beberapa orang memakai baju Muda dan salah seorang mengaku sebagai penganjur sidang akhbar yang akan dilakukan.

“Pasukan kita telah menasihatinya agar majlis berkenaan diberhentikan mengikut kepada SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang melarang apa-apa program berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertarikh 24 Oktober lalu, mulai 25 Oktober sehingga 27 November depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, bagaimanapun penganjur yang berusia 20 tahun itu tidak memberi kerjasama dan meneruskan sidang akhbar tersebut.

“Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kemudian sampai di lokasi pada pukul 1.30 petang dan telah memulakan sidang akhbar yang menyentuh berkaitan PRN Melaka dan Muda akan bertanding di PRN Melaka.

“Sidang akhbar tersebut menyebabkan kehadiran orang ramai berkumpul dianggarkan 30 hingga 40 orang,” jelasnya.

Tambahnya, susulan daripada kejadian, pihaknya telah memanggil penganjur untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM4,000 kerana menyebabkan orang ramai berhimpun sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

Kompaun dikeluarkan dibawah Peraturan 10 P.U (A) 293 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya