PARIT BUNTAR: Sebanyak 15 buah rumah di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau dekat sini berdepan ancaman hakisan tebing Sungai Kurau.
Keadaan hakisan yang semakin teruk menyebabkan rumah penduduk semakin hampir dengan tebing sungai, daripada 10 meter sebelum ini kepada hanya lima meter ketika ini.
Seorang penduduk, Suhaila Omar,44, berkata, dia bimbang setiap kali berlaku air laut pasang yang menyebabkan paras air sungai naik dan melimpah masuk hingga ke kawasan halaman rumahnya.
Dia yang telah menetap di situ sejak 18 tahun lalu berkata, hakisan tebing semakin buruk sejak kebelakangan ini sehingga tanah bahagian belakang rumahnya 10 meter dari tebing, kini hanya tinggal lima meter sahaja dari dinding rumahnya.
“Hakisan menyebabkan tebing sungai membentuk rongga pada bahagian bawah, ini menyebabkan tapak bahagian dapur saya juga mempunyai lubang akibat hakisan” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Penduduk lain, Hamdan Saari, 63, yang bekerja sebagai nelayan berkata, hakisan tanah membimbangkan penduduk.
Menurutnya, akibat hakisan tebing, sejak tahun 2000, pelantar nelayan miliknya sudah lima kali terpaksa dipindah lokasi.
“Pada asalnya, pelantar ikan saya terletak 20 meter dari tapak sekarang setelah lima kali pindah lokasi disebabkan tebing terhakis.
“Hakisan berlaku pada bahagian bawah tebing, aliran air Sungai Kurau yang deras telah membentuk rongga pada bahagian bawah sehingga menyebabkan tebing terhakis,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Man, 75, berkata, akibat hakisan, rumahnya semakin hampir dengan tebing sungai.
“Dahulu belakang rumah saya banyak pokok api-api tapi sekarang semuanya sudah tiada, sudah tumbang kerana hakisan tanah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata,beliau akan membawa masalah ini pada mesyuarat exco kerajaan negeri pada rabu ini.
“Dianggarkan 15 buah rumah di RPT Kampung Raja Bashah ini amat berisiko berikutan kediaman mereka terlalu hampir dengan ban yang terhakis.
“Jarak ban yang terhakis dengan kediaman mereka kurang dari 10 meter dan keadaan ini amat serius dan perlu diambil tindakan segera bagi mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE