Penanaman sayur hidroponik jana pulangan lumayan - Utusan Malaysia

Penanaman sayur hidroponik jana pulangan lumayan

AFIZUL Jamal menunjukkan tanaman sayur-sayuran hidroponik yang diusahakan di halaman rumahnya di Kampung Buang Sayang, Papar, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Halaman belakang rumah yang dahulunya kawasan semak kini mula dipenuhi tanaman sayur-sayuran hidroponik yang membolehkan Afizul Jamal, 36, menjana pendapatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Afizul berkata, Afizul mula mengusahakan tanaman itu pada 2019 dengan sedikit pengetahuan semasa belajar di Institut Pertanian Sabah serta pencarian melalui saluran YouTube mengenai cara penanaman hidroponik.

Tanpa ada tunjuk ajar sesiapa dan peralatan yang dibeli secara atas talian, ternyata kerja kerasnya itu membuahkan hasil.

Kini, kebun seluas 7,500 kaki persegi miliknya sudah mampu menghasilkan kira-kira 100 kilogram sayur-sayuran setiap minggu.

Pemilik Apy Hidroponik Eco Farm ini juga boleh berbangga kerana menjadi pengusaha sayur-sayuran hidroponik pertama di daerah Papar.

Buah rock melon yang ditanam menggunakan kaedah hidroponik.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Malah, Afizal turut dijemput agensi-agensi kerajaan untuk berkongsi pengalaman mengusahakan tanaman sayur-sayuran hidroponik di kawasan tanah rendah.

Menurutnya, walaupun berdepan cabaran untuk menyesuaikan keadaan cuaca di tanah rendah bagi tanaman sayur-sayuran terutama salad namun, dia berjaya mengharungi cabaran itu setelah melakukan pelbagai percubaan.

“Apa yang menarik tentang tanaman hidroponik ini, ia tidak melibatkan kos kerugian yang besar sekiranya tanaman tidak berhasil.

“Biarpun kos untuk memulakan projek agak mahal iaitu kira-kira RM5,000 bagi mendirikan rumah hijau dan sistem perpaipan namun, kos penyelenggaraan dan kerugian tidak besar jika tanaman tidak menjadi mahupun diserang penyakit,” katanya.

Jelasnya, selepas setahun mengusahakan tanaman hidroponik itu, dia mula mengambil kursus pertanian dengan agensi kerajaan bagi membolehkannya memohon geran untuk memperluas dan mempelbagaikan lagi jenis sayur-sayuran yang ditanam.

Pada tahun lalu, Afizul berjaya mendapatkan geran Agroprenuer Muda menerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjumlah RM20,000.

“Dengan dana itu, saya mula menanam salad (green coral) dan juga buah rock melon. Kedua-dua tanaman ini mempunyai nilai pasaran yang baik biarpun mengambil masa yang lama untuk setiap kitaran.

“Untuk rock melon yang berharga RM5 sekilogram di pasaran, saya berjaya mengeluarkan kira-kira 150 kilogram pada bulan Ogos,” katanya.

Tambah beliau, secara purata beliau memperoleh pendapatan kasar kira-kira RM3,500 hingga RM4,000 sebulan menerusi hasil jualan sayur-sayuran hidroponik tersebut.

Katanya, permintaan terhadap sayur-sayuran sangat tinggi dan dia sendiri tidak mampu menampung permintaan di pasar raya.

Justeru, dia sudah mula mencari kawasan baharu bagi mengusahakan tanaman cili secara fertigasi bagi mempelbagaikan keluaran hasil tanamannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya