BANGI: Seorang pemotong rumput warganegara Pakistan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kenalannya seorang wanita rakyat Indonesia di sebuah kedai makan, dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Hashmat Khan, 23, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai majistret dalam prosiding itu.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Juli, 41, di sebuah premis di Jalan 1/1A, Bandar Rinching, Semenyih di sini di antara 25 September lalu dan pukul 7.33 pagi, 28 September.
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 November ini untuk sebutan sementara menunggu pelbagai laporan berkaitan kes.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan, pemeriksaan yang dijalankan bagi menjejaki bau busuk di sebuah premis kedai makan di Bandar Rinching, Semenyih membawa kepada penemuan mayat seorang wanita yang dipercayai mati dibunuh.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat tersebut pada pukul 7.33 pagi daripada orang awam yang mendakwa terhidu bau busuk dari dalam premis tersebut.
Menurut polis, pemeriksaan di lokasi kemudian menemui mayat seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai pekerja kedai makan itu dalam keadaan tidak berpakaian dengan diselimuti kain.- UTUSAN ONLINE