Pemilik syarikat, empat pekerja didakwa menipu libatkan kerugian RM630,000 - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat, empat pekerja didakwa menipu libatkan kerugian RM630,000

amang seksual
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat alat ganti kenderaan dan empat pekerjanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu syarikat pembekal alat ganti melibatkan kerugian RM630,200.

Kelima-lima tertuduh Ng Chong Chai, 60 selaku pemilik Syarikat Ban Heng Auto Part bersama Lai Wei Kiat, 23; Lee Juan Sheng, 24; Leong Yue Long, 25, dan Tan Wai Teck, 26 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menipu Syarikat Vanli Auto Spares Sdn. Bhd. dengan menyerahkan resit pembayaran perbankan berjadual (Interbank Giro).

Ia bagi mempercayai bahawa pembayaran dibuat sehingga mendorong syarikat itu menyerahkan barangan alat ganti kenderaan kepada Syarikat Ban Heng Auto Part berjumlah RM630,200 secara berperingkat yang mana syarikat pembekal itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Batu 3, Jalan Ipoh pada 8 Mac dan 12 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Sekyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, para peguam bela memohon agar anak guam mereka diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan mempunyai masalah kesihatan, tidak berkemampuan dan perlu menyara keluarga.

Muhammad Amin Abdullah mewakili Chong Chai, Wei Kiat, Juan Sheng dan Tan Wai Teck manakala Johan Radzi bagi pihak Yue Long.

Kamarudin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya