ALOR GAJAH: Keahlian bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan tergugur secara automatik mengikut Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO, tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, Fasal 20.11 jelas menyebut, mana-mana ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas dewan undangan negeri (DUN) atau Dewan Rakyat gugur keahlian dengan sendirinya.
Katanya, bagi Fasal 20.9 pula, seorang ahli UMNO yang cintakan parti, patuh perlembagaan tata etika ahli, dasar parti dan menghormati keputusan parti, juga kelihatan sudah dilanggar.
Justeru, katanya, keahlian Idris dan Nor Azman tergugur secara automatik serta tidak perlu dipertikai.
“Jadi kedua-dua fasal ini dibaca bersama, maka keahlian ADUN Sungai Udang dan ADUN Pantai Kundor tergugur dengan sendirinya sebagai ahli UMNO bermula pada Selasa.
“Surat pelucutan keahlian yang bertarikh pada 5 Oktober dihantar kepada mereka. Insya-Allah dalam masa terdekat mereka akan menerima surat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini malam tadi.
Isnin lalu, Idris dan Nor Azman bersama dua lagi ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, berkuatkuasa serta-merta.
Dua lagi ADUN terlibat ialah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Nor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Ahmad menambah, salinan surat pemecatan mereka berdua telah dihantar kepada Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, UMNO Bahagian Tangga Batu dan UMNO Bahagian Masjid Tanah. – UTUSAN ONLINE