Pembukaan ekonomi, rentas negeri lonjak pertumbuhan negara - Utusan Malaysia

Pembukaan ekonomi, rentas negeri lonjak pertumbuhan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis terus optimis dengan kemampuan negara mencatatkan pertumbuhan lebih baik daripada sasaran, melihat kepada kemajuan proses vaksinasi dan kesediaan negara untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi dalam masa terdekat.

Terbaharu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiga hingga empat peratus boleh dilepasi jika tiada sebarang kejutan dalam bentuk gelombang baharu Covid-19 yang melanda.

Pendapat itu tiba selepas ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) menjangkakan ekonomi Malaysia tumbuh sedikit tinggi berbanding sasaran pada 4.1 peratus dan Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat Malaysia mampu melepasi sasaran tersebut dengan pembukaan sektor ekonomi yang lebih luas.

Malah, menurut Baharom, Malaysia boleh mencapai pertumbuhan sehingga enam hingga tujuh peratus pada tahun hadapan sekiranya segala perancangan berjalan dengan lancar dan tiada kejutan gelombang atau varian Covid-19 yang baharu.  

“Selain kadar vaksinasi negara, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pembukaan sektor ekonomi yang lebih luas serta kebenaran pergerakan rentas negeri akan mempermudah misi kita untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang dirancang.

“Sekiranya kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan membuka lebih banyak gelembung pelancongan dalam masa terdekat, ia dapat memacu dan membantu pertumbuhan yang lebih baik malah kesan limpahannya turut boleh dirasai oleh sektor ekonomi yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk rekod, AMRO menjangkakan ekonomi Malaysia akan pulih secara kukuh tahun depan dengan berkembang 6.7 peratus sejajar pemulihan serantau dan global.

Pertubuhan turut mengunjurkan kadar inflasi Malaysia pada 2.5 peratus tahun ini sebelum menurun kepada 2.2 peratus tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Baharom memberitahu, jangkaan AMRO tersebut munasabah dan mampu dicapai jika negara dapat melandaikan penularan wabak Covid-19 yang kini berada di sekitar 9,000 serta dapat mencapai kadar vaksinasi sebanyak 90 peratus.

“Itu sekaligus akan menyebabkan lebih banyak kelonggaran diberikan daripada pihak kerajaan dari segi syarat, pergerakan serta pengaktifan kegiatan ekonomi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN