Pemandu lori dipenjara 14 tahun, lima sebatan cabul anak asuhan isterinya - Utusan Malaysia

Pemandu lori dipenjara 14 tahun, lima sebatan cabul anak asuhan isterinya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pemandu lori diperintah menjalani hukuman penjara 14 tahun dan dikenakan lima sebatan selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang ketika itu di bawah asuhan isterinya, tiga tahun lalu.

Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk See Mee Chun ketika menolak rayuan akhir Sulaiman Aswari, 44. Hukuman berkuat kuasa hari ini.

Mahkamah berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Sesyen betul ketika mencapai dapatan mangsa iaitu saksi pendakwaan ketiga (SP3) adalah saksi yang kompeten mengikut Seksyen 17 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Panel itu berpendapat, hakim bicara telah membuat penilaian kompetensi kanak-kanak tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang.

Mahkamah turut berpuas hati, laporan perubatan oleh pakar perubatan menyokong keterangan SP3, maka tiada sebab untuk mengusik atau mengganggu dapatan fakta yang dicapai oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengesahkannya.

Sehubungan itu, Hakim Vazeer Alam mengekalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuannya.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang manakala perayu diwakili peguam Gabriel Susayan.

Mengikut pertuduhan, Sulaiman didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak berusia empat tahun (sewaktu kejadian) di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang, antara pukul 10 pagi dan 7 petang di antara Februari dan April 2018.

Berikutan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 dan boleh dikenakan sebatan.

Pada 3 April 2019, Sulaiman dihukum penjara 14 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang. Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Januari tahun lalu menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Mengikut fakta kes, ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, mangsa memberitahu ibu bapanya bahawa perayu melakukan amang seksual terhadapnya.

Keterangan kes menunjukkan, isteri perayu mengasuh mangsa bermula tahun 2016 hingga 8 Mac 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya