Pemandu e-hailing tunjuk kemaluan kepada wanita direman  - Utusan Malaysia

Pemandu e-hailing tunjuk kemaluan kepada wanita direman 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Pemandu e-hailing  yang menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita dalam kejadian di hadapan bangunan pejabat di Subang Jaya, dekat sini pada 5 Oktober lalu direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil.

Akhbar pada 8 Oktober lalu melaporkan, seorang pemandu e-hailing diburu susulan laporan diterima polis daripada seorang wanita berhubung kejadian itu pada pukul 6.36 petang, 5 Oktober lepas.

Menurut pengadu, dia mengambil barang yang dipesan daripada pemandu e-hailing berkenaan di hadapan bangunan pejabatnya sebelum ternampak zip seluar suspek dalam keadaan terbuka sehingga menampakkan kemaluan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman pada 8 Oktober lalu dilaporkan berkata, ketika wanita itu mahu mengambil barang daripada suspek, lelaki itu bertindak memegang pergelangan tangan kiri wanita berkenaan.

“Namun, wanita itu menarik tangannya dan terus beredar dari lokasi. Wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya berhubung kejadian itu,” katanya. 

Ketika kejadian, suspek menggunakan Proton Bezza yang berbeza dari rekod dalam pesanan aplikasi syarikat e-hailing berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN