BACHOK: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka peluang terbaik untuk parti-parti Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) mengubah sentimen hari ini yang menyaksikan rakyat seolah-olah membenci ahli politik.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhamad Zawawi Salleh berkata, tujuan PN mengambil bahagian dalam pilihan raya itu adalah semata-mata untuk memulihkan kestabilan politik di Melaka.
Katanya, perpaduan dalam kalangan parti-parti tersebut bukan sahaja dapat mengembalikan kestabilan politik Melaka, malah dilihat mampu mengikis perasaan benci rakyat terhadap golongan ahli politik.
“Sebab itulah kita kenalkan kepada perpaduan. Dalam apa jua keadaan, kita kena menjadikan perpaduan ini satu juzuk daripada perjuangan kita. Dengan cara ini barulah dicapai kestabilan politik dalam negara.
“Rakyat yang memberi kuasa kepada ahli-ahli politik kini sedang membuat penilaian dan kita cuba kikiskan perasaan akar umbi rakyat untuk membuat tafsiran yang negatif.
“Dalam al-Quran tidak ada sebaris ayat dan al-hadis yang membenarkan kita bertelingkah. Semua ayat al-Quran dan hadis nabi mendidik umatnya bersatu padu katanya kepada pemberita selepas melawat pusat akuakultur di Kampung Tok Kederat, Kandis, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II itu berkata, kerajaan mengenal pasti penternakan akuakultur sebagai sumber utama untuk menampung keperluan ikan domestik dan pasaran eksport.
Katanya, persediaan perlu dibuat memandangkan sumber perikanan laut telah mencapai tahap penerokaan maksimum dan eksploitasi yang berlebihan.
“Pengeluaran hasil akuakultur diusahakan 1,070 penternak di Kelantan pada 2020 mencatatkan sebanyak 6,022 tan dengan nilai dianggarkan RM49 juta,” katanya.- UTUSAN ONLINE