ALOR SETAR: Seorang Pegawai Pertanian berjaya mengusahakan tanaman anggur di kebun seluas 0.14 hektar di Jalan Datuk Kumbar di sini sejak 2001.
Menurut Zairizal Zainon, 41, pada masa ini, dia menanam kira-kira 100 varieti pokok anggur dari pelbagai negara seperti Ukraine dan Jepun.
Katanya, pokok anggur yang ditanam di kebun itu mengeluarkan buah berkualiti dan manis.
“Antara varieti yang ada ialah Akademik, Dixon, Veles dan Krasothka yang sangat digemari ramai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, dia mula menanam anggur di halaman rumah di Taman Merbau di sini pada 2001 dengan dua varieti anggur sahaja dan tidak menyangka hasil kajian serta minatnya dalam tanaman itu berjaya mengeluarkan buah yang berkualiti.
“Selepas melihat hasil tanaman yang baik, saya terus mengorak langkah dengan membuka kebun tanaman anggur seluas kira-kira 0.14 hektar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Zairizal berkata, yang merupakan graduan Universiti Putra Malaysia berkata, dia sebelum ini membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk membina rumah pelindung hujan bagi mengusahakan tanaman tersebut.
“Setiap kali musim buah, ramai yang datang mengunjungi kebun anggur saya ini dan antara varieti yang paling digemari ialah Akademik dari Ukraine kerana buahnya hitam, manis dan rangup.
“Mereka turut bergambar yang mana suasananya seperti berada di luar negara. Saya tidak pernah menjual kepada pihak luar kecuali mereka yang berkunjung ke kebun anggur untuk merasai serta memetik buah yang segar saya ini secara bersedekah,” jelasnya.
Katanya, hasil kajiannya mendapati anggur sangat sesuai ditanam di negara ini terutamanya di utara kerana musim panas ketara akan menyuburkan tanaman serta memaniskan buah.
“Saya mendapati setiap kali memetik anggur pada musim kemarau terutamanya pada Januari dan Februari, buahnya sangat manis dan setanding dengan buah di negara Eropah.
“Di Eropah halangan utama penanam anggur ialah pada musim salji yang mana kesemua pokok anggur terpaksa ditutup supaya tidak rosak,” ujarnya.
Tambahnya, dia mampu memetik antara 50 hingga 60 kilogram anggur pada setiap musim.
“Teknik Tanam Anggur Cepat Berbuah (TACB) yang dihasilkan mampu mengeluarkan hasil seawal lima bulan dan terbaharu tanaman berbuah adalah pada Ogos lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE