JOHOR BAHRU: Bukit Aman memandang serius tentang isu anggota polis ‘asnaf’ yang dibelenggu dengan masalah hutang keliling pinggang kerana dikhuatiri melakukan perkara menyalahi integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian secara menyeluruh bagi melihat tahap keseriusan perkara itu khususnya membabitkan anggota polis di seluruh negara yang bergaji kecil.
Katanya, PDRM akan memperhalusi langkah terbaik untuk menjaga kebajikan anggota polis yang memiliki kadar keberhutangan tinggi, antaranya dengan pemberian wang kebajikan bagi membantu mereka.
“Anggota asnaf selalunya terlibat dengan keberhutangan tinggi. Sebagai contoh, anak hendak sambung belajar atau ada musibah menimpa diri, mereka berhutang.
“Bila berhutang, gaji mereka jadi kecil (kerana komitmen tinggi) dan sebab itu kita kena lihat dari segi kebajikan mereka. Tugas polis ini mempunyai kuasa dan untuk itu kita tak mahu mereka ini melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
“Jika untuk pesara polis kita ada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP), kita akan tengok dari wang kebajikan yang lain (untuk membantu anggota asnaf),” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay serta Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali.
Mazlan berkata, kajian yang sedang dijalankan dibuat secara terperinci untuk mendapatkan jumlah sebenar berapa ramai yang terkesan dengan perkara tersebut.
“Kita kena perhalusi kerana ada yang berhutang tidak sepatutnya seperti membeli kereta besar. Hasil dapatan kajian itu, kita dapat beri kepada yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.
Pada program tersebut, seramai 20 pesara polis di negeri ini menerima sumbangan asnaf pesara PDRM bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.
Mazlan memberitahu, bantuan secara one-off itu merangkumi bantuan pengurusan jenazah sebanyak RM1,500, bantuan pergerakan (maksimum RM1,000), bantuan perubatan (maksimum RM5,000), bantuan pendidikan (RM3,000) dan bantuan bencana alam (maksimum RM10,000).
“Kita menyeru orang ramai untuk menguar-uarkan bantuan ini kepada pesara yang memerlukan bantuan mengikut kategori yang ditetapkan,” katanya.
Sejak Januari hingga Mei lalu, seramai 887 penerima mendapat manfaat bantuan sumbangan TAWP berjumlah RM1.59 juta. – UTUSAN ONLINE